Skip to main
Logo Malaysiakini

'Kemalangan bukan kerana seorang individu tekan butang salah semata-mata'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bagaimana dua tren transit aliran ringan (LRT) daripada arah bertentangan bergerak di atas landasan sama?

Bagi seorang bekas pegawai di Kementerian Pengangkutan, itu merupakan antara persoalan yang berlegar di kalangan ramai pemain industri tetapi takut untuk menyuarakannya, memandangkan ia satu industri yang saling berhubungan dan rapat.

Chung Yi Fan, bekas pegawai tugas khas bekas menteri pengangkutan Anthony Loke, berkata banyak pihak dalam industri itu mengesyaki masalah utamanya adalah kegagalan sistemik atau organisasi.

"Semua orang saling mengenali. Mereka tak mahu beri kritikan kasar kerana boleh buatkan ada yang terasa dan mereka hilang pendapatan di masa depan," kata Chung dalam satu hantaran di Facebook.

"Jadi biarlah saya yang menyuarakan beberapa soalan yang ada dalam fikiran hampir semua pihak dalam industri," katanya.


Berkaitan: Wee: 'Kecuaian pandu salah arah punca kemalangan LRT'


Chung antara lain bertanya mengapa pemanduan tren empat gerabak ditetapkan dalam mod manual dan menjalani ujian pada pukul lapan malam tadi.

Dia juga ingin tahu jika sistem Perlindungan Kereta Api Automatik (ATP) tidak berfungsi, atau jika ia ditutup secara manual.

Tetapi apa yang paling utama, kata Chung, adalah orang awam perlu diberitahu tentang apa yang berlaku pada sistem isyarat dan pemancaan (signalling and interlocking) yang tidak akan membenarkan tren dari arah bertentangan bergerak di atas landasan sama.

"Ada banyak lagi persoalan. Insiden sebesar ini hanya boleh berlaku kerana sejumlah kesilapan dan kelalaian. Sejumlah kesilapan, bukan hanya kerana seorang individu yang menekan butang salah.

"Siasatan tidak boleh mengabaikan kebarangkalian isu sistemik atau kegagalan organisasi atau kedua-duanya sekali," katanya lagi.

Tidak banyak perincian berkenaan insiden yang mengejutkan semalam walaupun sudah disahkan yang ia melibatkan dua tren di aliran Kelana Jaya.

Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi Mohamad Zainal Abdullah, siasatan awal menunjukkan satu tren ditetapkan untuk menjalani ujian dan dipandu secara manual di landasan yang salah, manakala satu tren lagi membawa membawa 232 penumpang dan bergerak secara automatik.

Ia menyebabkan seramai 47 penumpang dimasukkan ke hospital.

LRT aliran Kelana Jaya mula beroperasi pada 1998. Kereta api ini dibuat oleh syarikat Kanada, Bombardier dan bergerak secara automatik. Sistem isyarat pula daripada syarikat Perancis, Thales.

Kemalangan semalam dipercayai merupakan pertembungan antara dua tren LRT pertama yang berlaku di negara ini.

[Baca berita asal]