Skip to main
Logo Malaysiakini

Perhilitan perjelas cuma tembak tujuh 'lotong ganas' di Port Dickson

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia menjelaskan hanya tujuh ekor Lotong Cengkong sahaja telah dilupuskan secara penakaian di Port Dickson, bukannya 20 ekor seperti yang tular di media sosial.

Perhilitan dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan kesemua tujuh lotong ganas yang dilupuskan itu adalah dewasa, tidak melibatkan sebarang lotong juvenil.

Jelasnya, gambar lotong mati di atas pokok seperti ditularkan dipercayai diambil sebelum keseluruhan operasi selesai sepenuhnya dan Perhilitan menguruskan bangkai lotong tersebut mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Terdapat gambar dua unit kelongsong peluru tersebar di media sosial dipercayai dikutip dari kawasan belukar selepas operasi dijalankan, sebelum sempat dikutip oleh petugas Perhilitan,” menurut kenyataan itu.

Perhilitan turut menjelaskan kumpulan lotong yang dilupuskan itu adalah lotong yang bertindak ganas dan sering mengganggu penduduk dan bukannya jinak seperti didakwa.

Tular di media sosial gambar yang mendakwa Perhilitan menembak 20 ekor lotong di kawasan Kuarters Pendidikan Seri Sentosa, Batu 2 1/2 Jalan Pantai, Port Dickson, pada 19 Mei lepas.

Dakwaan berkenaan telah menyebabkan pelbagai pihak termasuk orang awam dan badan bukan kerajaan (NGO) tidak berpuas hati dengan tindakan itu.

Perhilitan menganggarkan kira-kira 140 hingga 160 lotong terdiri daripada empat spesies, berkeliaran di kawasan tersebut.

Menurut Perhilitan, pihaknya sebelum ini menerima lapan aduan berulang berkaitan serangan dan gangguan Lotong Cengkong di kawasan terbabit sejak awal tahun ini termasuk tiga kes serangan haiwan liar itu terhadap manusia sehingga menyebabkan kecederaan serius kepada orang awam di sekitar lokasi tersebut.

Kes kecederaan paling serius akibat serangan lotong itu berlaku pada 21 Jan lepas melibatkan seorang wanita yang cedera parah sehingga koyak kulit di bahagian kepala.

Sehubungan itu, Perhilitan Negeri Sembilan menjalankan operasi menghalau dan menangkap pindah Lotong Cengkong tersebut namun tidak berhasil kerana penggunaan perangkap di kawasan yang tidak berkesan.

"Perhilitan mengambil pertimbangan dari pelbagai sudut termasuk mengambil kira lokasi gangguan berhampiran dengan penempatan manusia, justeru tindakan pelupusan atau penakaian lotong terbabit adalah kaedah terbaik bagi menangani konflik hidupan liar di kawasan tersebut,” menurut kenyataan itu.

- Bernama