Skip to main
Logo Malaysiakini

Kemalangan LRT: Jumlah kerugian belum dapat dipastikan - Wee

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Jumlah kerugian akibat kemalangan dua gerabak Transit Aliran Ringan (LRT) aliran Kelana Jaya semalam masih belum dapat dipastikan sehingga kerja-kerja pembersihan dan pembaikan selesai, kata Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong.

Wee berkata kerja-kerja baik pulih mengambil masa tiga hari.

“Setakat ini kita tak dapat menganggarkan jumlah kerugian kerana kita masih lagi dalam peringkat untuk membersihkan debris dan kita juga nak betulkan landasan tu.

“Trek itu besar juga. Jadi kita perlu lakukan kerja-kerja untuk mengenal pasti kerosakan, dan kerosakan landasan dan tren akan dianggarkan kemudian,” katanya dalam sidang media dalam talian hari ini.

Daripada 64 penumpang yang dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), seramai 43 orang mangsa telah diberi rawatan pesakit luar.

Setakat jam 7.55 pagi tadi, seramai 21 mangsa menerima rawatan di HKL. Seramai enam orang berada dalam keadaan kritikal manakala 15 lagi dalam keadaan separa kritikal.

Wee berkata lagi, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan menanggung rawatan susulan dan kos yang berkaitan ditanggung oleh penumpang yang terlibat dalam kemalangan tersebut, di samping memberikan RM1,000 bantuan khas kepada mangsa.

Dia berkata berikutan insiden malam tadi, bas-bas telah dibekalkan dari stesen tertentu ke stesen lain.

Bagaimanapun, Wee menjangkakan keadaan akan kembali seperti sedia kala hanya dalam tempoh beberapa hari lagi.

Malam semalam, dua tren LRT laluan Kelana Jaya bertembung di dalam terowong antara Stesen LRT Kampung Baru dan KLCC di Kuala Lumpur.

Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi Mohamad Zainal Abdullah, siasatan awal menunjukkan satu tren ditetapkan untuk menjalani ujian dan dipandu secara manual di landasan yang salah, manakala satu tren lagi membawa membawa 232 penumpang dan bergerak secara automatik.

Kemalangan semalam dipercayai merupakan pertembungan antara dua tren LRT pertama yang berlaku di negara ini.