Skip to main
Logo Malaysiakini

AMK tawar bantuan guaman pada mangsa kemalangan LRT

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Biro Guaman dan Undang-undang Angkatan Muda Keadilan (AMK) menawarkan khidmat nasihat guaman kepada mangsa kemalangan tren Transit Aliran Ringan (LRT) aliran Kelana Jaya berdekatan Stesen LRT KLCC, kelmarin.

Biro itu berkata, pihaknya sedia memberi khidmat itu supaya mangsa dapat memahami hak mereka di bawah undang-undang.

"Sehubungan dengan itu, Biro Guaman dan Undang-undang AMK Malaysia dengan kerjasama sekumpulan peguam bertauliah amat berbesar hati untuk menawarkan khidmat nasihat guaman kepada semua mangsa terbabit, sekiranya mereka ingin memahami hak individu masing-masing secara lebih lanjut di bawah undang-undang yang sedia ada.

"Kami juga ingin merakamkan penghargaan kepada semua warga perubatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) atas rawatan rapi yang diberi kepada semua penumpang selepas kemalangan, kata pengerusinya Chiew Choon Man dan exco, Gavin Way dalam kenyataan bersama hari ini.

Mereka juga menuntut Kementerian Pengangkutan membentangkan laporan terperinci mengenai insiden itu secepat mungkin, bagi meyakinkan orang ramai terhadap sistem pengangkutan awam di negara ini.

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku akibat kecuaian pemanduan, apabila sebuah tren dipandu secara salah arah.

Insiden itu menyebabkan seramai 47 penumpang cedera parah manakala 166 mengalami kecederaan ringan.

Semalam, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengumumkan bantuan khas sebanyak RM1,000 kepada mangsa, selain akan menanggung kos perubatan, rawatan susulan dan ganti rugi akibat kehilangan pendapatan susulan kemalangan itu.