Skip to main
Logo Malaysiakini

CITF mohon maaf masalah teknikal laman sesawang

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF) memohon maaf atas kesulitan teknikal yang dihadapi oleh orang ramai yang ingin membuat janji temu untuk menerima vaksin AstraZeneca Covid-19 awal hari ini.

"CITF memandang serius masalah teknikal yang dihadapi dan tindakan akan diambil kepada pihak yang berkenaan demi kepentingan awam dan negara," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

CITF juga memberi jaminan bahawa individu yang telah mendaftar untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) tetapi tidak berjaya membuat janji temu untuk vaksin AstraZeneca masih akan diberi vaksin di bawah program ini, sebaik vaksinasi meningkat dalam beberapa bulan akan datang.

"Sekali lagi, kami memohon maaf di atas segala kesulitan yang dihadapi dan sentiasa terbuka untuk sebarang maklum balas serta teguran daripada semua pihak.

"CITF juga ingin mengucapkan terima kasih di atas sambutan baik orang ramai yang telah menjalankan tanggungjawab masing-masing bagi memastikan negara mencapai imuniti kelompok seperti yang disasarkan," katanya.

Sebelum ini, kerajaan membuka pendaftaran vaksin sukarela untuk vaksin AstraZeneca.

Langkah itu dibuat susulan kebimbangan masyarakat mengenai kesan sampingan vaksin itu.

Namun, orang ramain yang berusaha mendapatkan janji temu untuk vaksin AstraZeneca menghadapi masalah teknikal setiap kali tempahan dibuka secara dalam talian.

Ini berlaku pada 3 Mei ketika tempahan dibuka kepada penduduk Kuala Lumpur dan Selangor yang berumur 18 tahun ke atas, selain pada 23 Mei pada tahap yang lebih rendah apabila dibuka kepada warga emas di Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor, dan Sarawak.

Pada tengah hari hari tadi, masalah teknikal sekali lagi terjadi apabila tempahan janji temu vaksin AstraZeneca dibuka.

Isu teknikal itu mendapat kritikan meluas kerana banyak yang gagal mendapatkan janji temu.

Sementara itu, CITF mengatakan 956,609 janji temu telah diambil hari ini dalam kira-kira satu jam setelah tempahan dibuka.

Daripada 1,261,000 dos yang ditawarkan pada pusingan kedua tempahan vaksin AstraZeneca, 275,208 dos telah diambil oleh warga emas sejak 23 Mei.

29,183 janji temu lagi telah diambil oleh orang yang berada dalam senarai menunggu sejak pusingan pertama pendaftaran sukarela AstraZeneca pada 3 Mei.