Skip to main
Logo Malaysiakini

Pesara dikompaun RM4,000 kerana ke pasar dengan gelang pink

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seorang lelaki warga emas yang juga merupakan seorang pesara dikompaun RM4,000 atas kesalahan melanggar prosedur standard operasi (SOP).

Warga emas yang berusia 73 tahun itu didapati keluar ke Pasar Awam Sumayyah, Bandar Baharu, Tumpat, di Kelantan hari ini, dengan memakai gelang merah jambu dan masih dalam tempoh kuarantin.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata lelaki itu datang ke pasar tersebut pada jam 10.45 pagi sebelum ditahan pihak berkuasa.

“Lelaki itu dengan sengaja hadir ke Pasar Awam Sumayah Bandar Baru Tumpat, sedangkan dia masih memakai gelang berwarna merah jambu.

“Ini jelas bahawa lelaki itu telah melanggar SOP PKP Covid-19 dan sedang menjalani pegawasan dirumah,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Terdahulu tular sekeping gambar di media sosial warga emas itu memakai gelang merah jambu ketika membeli-belah di Pasar Sumayyah sebelum dikenakan tindakan oleh anggota polis.

Sementara itu, Ab Rashid berkata lelaki itu akan disiasat dengan lebih lanjut untuk kenyataan terperinci.

“Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 15 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) 1988,” katanya.