Skip to main
Logo Malaysiakini

KP Jabatan Perkhidmatan Awam tegur kakitangan kerja sambil lewa

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Mohd Khairul Adib Abd Rahman hari ini menegur penjawat awam yang disifatkan orang ramai masih bersikap sambil lewa dan tidak cekap dalam memberikan perkhidmatan.

“Kita dilantik untuk membantu kerajaan menyelesaikan setiap permasalahan yang dihadapi rakyat, bukannya harapkan pangkat yang lebih tinggi kerana gaji serta elaun penjawat awam masuk (dibayar) seperti biasa. Mereka (penjawat awam) kena hargai perkara ini.

“Ingin saya ingatkan, jangan ambil sikap sambil lewa. Perlu kikis budaya lama.

"Penjawat awam perlu sedar apabila rakan-rakan lain (pekerja sektor swasta) berhadapan dengan retrenchment (diberhentikan kerja) ketika Covid-19, mereka langsung tidak terjejas,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan JPA secara maya di Putrajaya hari ini.

Khairul Adib juga mahu penjawat awam mengambil iktibar daripada situasi sukar yang dialami pekerja sektor swasta dan mereka yang bekerja sendiri yang kebanyakannya terjejas sumber pendapatan kerana krisis Covid-19.

Sehubungan itu katanya penjawat awam perlu meningkatkan mutu perkhidmatan bagi mengubah persepsi negatif masyarakat terhadap tahap kecekapan perkhidmatan awam dalam menguruskan setiap urusan.

“Tingkatkan mutu perkhidmatan dan semangat untuk tunaikan amanah yang diberikan iaitu berkhidmat kepada masyarakat bagi memastikan aspirasi kerajaan dapat dilaksanakan dengan sempurna,” katanya.

Menurutnya, jika setiap penjawat awam mengamalkan sikap berintegriti dan beramanah semasa menjalankan tugas, persepsi negatif tersebut dapat ditangkis sekali gus meningkatkan imej mereka.

Bagi memastikan perkhidmatan sektor awam kekal relevan, Khairul Adib mahu penjawat awam meningkatkan pengetahuan, terutamanya berkaitan teknologi baru, supaya kemahiran serta kecekapan sedia ada dapat diperkasakan selaras dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital yang dilancarkan awal tahun ini.

Dia juga mahu penjawat awam mengukur produktiviti penyampaian kerja masing-masing berlandaskan Rangka Tindakan Produktiviti yang memfokuskan produktiviti sebagai sumber pertumbuhan baharu negara.

Katanya peningkatan produktiviti adalah hasil daripada kemajuan teknologi serta kecekapan pengurusan ekonomi secara keseluruhan.

- Bernama