Skip to main
Logo Malaysiakini

PH: Kenapa jawatankuasa bebas darurat berdiam diri?

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) hari ini berkata wakil mereka dalam Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 berpendapat darurat yang berkuat kuasa ketika ini untuk menangani Covid-19 tidak diperlukan.

Justeru Majlis Presiden PH menggesa agar jawatankuasa itu mengetengahkan pandangan berkenaan agar parlimen, yang digantung sejak darurat diisytiharkan, boleh bersidang semula.

"Sekiranya Jawatankuasa Khas Bebas Darurat masih mendiamkan diri, PH terpaksa mempersoalkan peranan dan fungsi wakil kami di dalam jawatankuasa tersebut.

"Atau apakah kehadiran wakil kami dijadikan sebagai 'pelitup muka' untuk mengiyakan segala penggunaan kuasa darurat yang mengetepikan parlimen," kata kenyataan yang ditandatangani Anwar Ibrahim dari PKR, Mohamad Sabu dari Amanah dan Lim Guan Eng dari DAP.

Jawatankuasa berkenaan dipercayai akan bermesyuarat sebulan sekali di Putrajaya tetapi tidak memberi maklumat terkini mengenai aktiviti mereka.

Terdapat tiga wakil PH dalam jawatankuasa tersebut. Darurat dijangkakan akan berakhir pada 1 Ogos.

Majlis presiden PH mengatakan data Kementerian Kesihatan menunjukkan bahawa keadaan darurat belum mencapai tujuan yang dimaksudkan untuk mengawal penyebaran Covid-19 dan sebaliknya dilihat mempunyai kesan yang sebaliknya.

"Sejak darurat berkuat kuasa pada 11 Januari 2021 hingga ke hari ini, walau diberi kuasa penuh untuk melakukan segala ikhtiar dan upaya, namun berdasarkan data dan bukti sedia ada, jelas kuasa darurat ini tidak berjaya mengekang penularan wabak Covid-19.

"Sebaliknya keadaan menjadi jauh lebih serius. Kerajaan Perikatan Nasional telah gagal," kata kenyataan itu lagi.

Satu-satunya kesan darurat, tambahnya, adalah "lockdown kendiri politik" yang bertujuan menyelamatkan pemerintah PN yang didakwa tidak lagi mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

"Malangnya 'lockdown' kendiri politik ini tanpa kebertanggungjawaban, ketelusan dan proses semak dan imbang telahpun memburukkan pandemik Covid-19 sepertimana yang dipersetujui juga oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat dan Ahli Parlimen Pengerang Azlina Othman Said hari ini.

"Maka dalam keadaan hampir semua Ahli Parlimen telah menerima vaksin, Majlis Presiden PH menggesa semua Ahli Parlimen

untuk bersama menuntut agar Parlimen dibuka semula," kata pemimpin PH berkenaan.