Skip to main
Logo Malaysiakini

Jawatankuasa darurat capai persetujuan kriteria penetapan tempoh darurat

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 mengumumkan bahawa ia bersetuju secara konsensus dengan penetapan beberapa kriteria dan nilai ambang (threshold) dalam membuat penilaian berkenaan sama ada proklamasi akan diteruskan atau tidak.

Bagaimanapun, dalam jawatankuasa itu melalui satu kenyataan tidak menjelaskan secara terperinci berhubung perkara itu.

“Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dalam siri mesyuaratnya telah menerima pelbagai pembentangan berhubung situasi semasa pandemik Covid-19 daripada kalangan individu, pakar-pakar kesihatan serta bidang-bidang yang berkaitan.

“Pada peringkat ini, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 secara konsensus bersetuju dengan penetapan beberapa kriteria dan threshold dalam membuat penilaian berhubung kewujudan berterusan darurat atau penamatannya,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu hadir pada hari yang sama dengan kenyataan dari Majlis Presiden Pakatan Harapan hari ini yang menggesa supaya jawatankuasa itu bersuara mengenao penggunaan kuasa darurat yang mengetepikan parlimen.

Dalam kenyataan tersebut, Majlis Presiden PH berkata wakil mereka dalam Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 berpendapat darurat yang berkuat kuasa ketika ini untuk menangani Covid-19 tidak diperlukan.

Justeru Majlis Presiden PH menggesa agar jawatankuasa itu mengetengahkan pandangan berkenaan agar parlimen, yang digantung sejak darurat diisytiharkan, boleh bersidang semula.

"Sekiranya Jawatankuasa Khas Bebas Darurat masih mendiamkan diri, PH terpaksa mempersoalkan peranan dan fungsi wakil kami di dalam jawatankuasa tersebut.

"Atau apakah kehadiran wakil kami dijadikan sebagai 'pelitup muka' untuk mengiyakan segala penggunaan kuasa darurat yang mengetepikan parlimen," kata kenyataan yang ditandatangani Anwar Ibrahim dari PKR, Mohamad Sabu dari Amanah dan Lim Guan Eng dari DAP.

Sementara itu, jawatankuasa itu berkata kenyataannya hari ini bahawa ia telah bermesyuarat enam kali sejak ditubuhkan pada 9 Februari dengan mesyuarat pertama pada 18 Februari.

Keenam-enam mesyuarat berkenaan telah dipengerusikan oleh bekas ketua hakim Arifin Zakaria.

Terdapat 19 anggota dalam jawatankuasa itu yang terdiri dari pelbagai parti dan dilantik dengan persetujuan Yang di-Pertuan Agong.

Antara merupakan Ahli Parlimen Tanjung Karang Noh Omar, Ahli parlimen Pasir Puteh Nik Muhammad Zawawi, Ahli Parlimen Batang Lupar Rohani Abdul Karim, Ahli Parlimen Beaufort Azizah Mohd Dun, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Saifuddin Nasution Ismail, Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke dan Ahli Parlimen Kuala Selangor Dzulkefly Ahmad.

Jawatankuasa itu, yang ditubuhkan di bawah Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 berfungsi untuk memberi nasihat kepada Agong mengenai  darurat yang sedang berkuat kuasa, dan juga tarikh ia seharusnya berakhir.

Agong mengisytiharkan proklamasi darurat pada 12 Januari, yang dijadualkan berlangsung hingga 1 Ogos atau lebih awal, bergantung kepada keadaan Covid-19 di negara ini.