Skip to main
Logo Malaysiakini

SPRM tahan Tajuddin, dibebas dengan jaminan lisan - Laporan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan dibebaskan dengan ikat jamin lisan semalam, kata laporan.

SPRM bagaimanapun belum mengulas permintaan mendapatkan pengesahan mengenai penangkapan Tajuddin itu.

Tajuddin yang hadir ke pejabatnya di ibu pejabat Umno hari ini enggan bercakap kepada pihak media.

Menurut laporan The Vibes dan Utusan Online, Tajuddin ditahan selepas dipanggil memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

Kementerian Kewangan Diperbadankan telah menamatkan perkhidmatan Tajuddin sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana berkuat kuasa serta-merta pada 26 Mei lalu.

Ini selepas sidang media kontroversi Tajuddin mengenai perlanggaran LRT Laluan Kelana Jaya 24 Mei.

Ia nahas terburuk dalam sejarah LRT, mengakibatkan 213 penumpang cedera. Ada yang mengalami kecederaan serius dan tiga lagi dimasukkan ke unit rawatan rapi.

Tajuddin dikritik kerana tidak segera mengunjungi lokasi nahas.

Ketika sidang medianya, Tajuddin dikatakan meremehkan betapa seriusnya kemalangan tersebut dengan menyifatkannya sebagai dua kereta api yang "saling mencium".

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki memaklumkan pihaknya sudah melengkapkan siasatan berhubung isu dakwaan salah guna kuasa dalam Prasarana Berhad (Prasarana) dengan kertas siasatan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara pada April lalu.

Azam Baki dipetik Astro Awani pada 4 Mei lalu berkata, SPRM masih menunggu arahan daripada Peguam Negara, termasuk sekiranya ada atau tidak pihak yang boleh dituduh.

Jelasnya lagi, siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009 mengenai kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan, sama ada untuk diri suspek, saudaranya atau sekutunya.

Siasatan itu dimulakan selepas antara lain, muncul tuduhan Tajuddin 'campur tangan' dalam sebuah projek di mana syarikat berkaitan keluarganya terlibat.

Januari lalu, penguatkuasa SPRM telah ke pejabat Prasarana Berhad sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap Tajuddin.

Sementara itu, Tajuddin berkata, projek Latitud 8 di Dang Wangi, Kuala Lumpur diberikan kepada Intan Sekitar Sdn Bhd pada tahun 2012 melalui tender terbuka, jauh sebelum dia menjadi ketua Prasarana.

Intan Sekitar Sdn Bhd, yang 51 peratus dimiliki oleh Crest Builder Holdings Berhad yang disenaraikan di bursa, adalah 49 peratus dimiliki oleh Detik Utuh Sdn Bhd.

Keluarga Tajuddin memiliki 40 peratus kepentingan dalam Detik Utuh Sdn Bhd melalui Tindakan Juara Sdn Bhd yang memberi mereka pegangan efektif sebanyak 19.6 peratus dalam projek tersebut.

Syarikat itu menjadi perhatian berikutan laporan bahawa lembaga Prasarana sedang mempertimbangkan untuk menghentikan projek tersebut dengan membayar RM80 juta kepada Intan Sekitar.