Skip to main
Logo Malaysiakini

'Orang mahu vaksin jangan dibiar cakap dengan robot di talian'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menggesa kerajaan menjawab dakwaan bahawa talian khidmat pelanggan atau hotline Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) seperti tidak berfungsi.

Dalam satu kenyataan hari ini, Yeoh mengatakan bahawa dia telah cuba menghubungi talian itu berkali-kali atas permintaan penduduk di parlimennya yang berdepan isu mengenai aplikasi MySejahtera.

Yeoh mengatakan masalah yang dihadapi mereka termasuk perlu menjadualkan semula janji temu, maklumat yang salah atau dipadankan dengan pusat vaksinasi di negeri yang salah.

"Di laman web vaksincovid.gov.my, setelah memasukkan maklumat di halaman 'semak', jika kita perlu berbicara dengan manusia, kita harus membuat panggilan ke nombor di bahagian bawah skrin.

"Pelajar pelatih dan pembantu saya cuba setiap lima hingga 10 minit tetapi terus mendapat respons automatik 'Talian ini sedang sibuk, sila cuba lagi nanti'," kata Yeoh.

Beberapa pengguna media sosial turut berkongsi kekecewaan selepas gagal menghubungi talian berkenaan.

Memberi contoh salah satu situasi, Yeoh mengatakan mereka disuruh menunggu dan dimaklumkan sebagai pemanggil nombor 30. Setelah menunggu lama, mereka dipindahkan ke nombor dua, namun kemudian dimaklumkan bahawa talian sibuk dan mereka harus cuba lagi, sebelum talian terputus.

Yeoh mengatakan ada ramai warga emas yang berusaha sebaik mungkin untuk menyesuaikan diri dengan teknologi baru, tetapi MySejahtera terbukti menjadi halangan besar.

Penyelesaiannya, kata Yeoh, adalah memastikan perkhidmatan talian khidmat pelanggan dan janji temu dinyahpusatkan (decentralised), terutama sekarang kerana lebih ramai orang berminat untuk diberi vaksin susulan kes Covid-19 yang meningkat.

Ini, katanya, harus diutamakan berbanding ciri tambahan baru MySejahtera yang dirancang dan dijanjikan oleh menteri vaksin Khairy Jamaluddin semalam.

"Apabila anda baru memvaksin kurang daripada dua juta orang dan hanya 11 juta yang terdaftar, utamakan setiap panggilan telefon yang ingin melakukan vaksinasi. Jangan biar mereka bercakap dengan robot di talian," kata Yeoh.