Skip to main
Logo Malaysiakini

Pakar gesa contohi garis panduan pengudaraan S’pura kekang Covid-19

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pakar penyakit berjangkit negara Dr Adeeba Kamarulzaman meminta kerajaan mengeluarkan garis panduan pengudaraan di ruang dalam premis untuk mengekang penularan Covid-19.

“Kita memerlukan penjelasan yang jelas dan lantang bahawa pengudaraan merupakan masalah utama dan perlu segera menubuhkan pasukan antara agensi mengenainya.

"Keluarkan garis panduan seperti Singapura dan uar-uarkannya untuk mengelakkan kluster di tempat kerja, sekolah, dan lain-lain. Tetapi ia harus dilakukan dengan segera. (Keadaan berlarutan) Sudah berbulan-bulan,” kata Adeeba yang juga Ahli Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC), di Twitter.

Berikutan penemuan bahawa Covid-19 disebarkan melalui udara, kerajaan di seluruh dunia telah mula mengeluarkan garis panduan mengenai cara pengudaraan ruang di kawasan tertutup dengan lebih baik.

Garis panduan pengudaraan Singapura, yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatannya republik itu pada Selasa, termasuk memaksimumkan kemasukan udara segar dan mengurangkan peredaran udara di ruang tertutup dan berhawa dingin.

Ruang tertutup yang berhawa dingin tanpa pengudaraan yang baik, termasuk seperti di kedai runcit dan klinik, harus kerap membuka tingkap dan mempertimbangkan untuk memasang sistem kipas yang dipasang di tingkap, kata garis panduan itu.

Pengudaraan semula jadi seperti di pasar dan kedai kopi yang tidak berhawa dingin antaranya harus membuka tingkap dan memasang kipas menghadap ke bahagian luar di tingkap untuk meningkatkan pengudaraan.

 

Garis panduan pengudaraan Malaysia masih belum selesai

Dengan menitikberatkan kepada isu pengudaraan adalah antara langkah penting dalam mengekang pandemik ini. Ia termasuk amalan yang memakan kos tinggi seperti menyembur pembasmi kuman di permukaan jalan dan jalan pejalan kaki.

Bulan lalu, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) berkata mod utama penularan Covid-19 adalah pendedahan kepada titisan pernafasan di udara, sementara risiko dijangkiti Covid-19 melalui menyentuh permukaan rendah.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata penularan Covid-19 melalui udara melibatkan titisan yang berada di udara untuk jangka masa yang panjang dan dapat disebarkan kepada orang lain dalam jarak lebih dari satu meter.

Sejak Julai tahun lalu, WHO menyeru kepada pengudaraan yang lebih baik untuk ruangan tertutup bagi mengekang penularan Covid-19.

 

Bagaimanapun, respons Penasihat Khas mengenai Kesihatan Awam Perdana Menteri, Dr Jemilah Mahmood, kepada Adeeba semalam, menunjukkan bahawa garis panduan Malaysia mengenai pengudaraan masih belum selesai.

Jemilah berkata ia akan lebih cepat jika pakar kesihatan awam dan pakar berkaitan bangunan dapat bekerjasama untuk menyusun garis panduan, dan bukannya menunggu pasukan petugas antara agensi.

“Persatuan Arkitek Malaysia juga boleh membantu. (Kami) akan cuba mendapatkan salinan garis panduan Singapura hari ini,” balasnya di Twitter.

 

SOP Safe@Work Miti tidak mempunyai garis panduan terperinci

Prosedur operasi standard (SOP) Safe@Work Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) tidak mempunyai garis panduan terperinci mengenai pengudaraan yang selamat di tempat kerja yang tertutup, tetapi mengarahkan majikan ke Lampiran 25 - garis panduan pengurusan Covid-19 Kementerian Kesihatan untuk di tempat kerja.

Dari segi pengudaraan, Lampiran 25 hanya menyatakan bahawa mereka yang menganjurkan sebarang acara dan mesyuarat dalam ruangan tertutup perlu "mempertimbangkan untuk membuka tingkap bagi tujuan pencahayaan semula jadi dan pengudaraan yang lebih baik."

Lampiran 25, yang kali terakhir dikemas kini pada 15 Februari, juga menggalakkan supaya mesyuarat diadakan di ruangan pengudaraan terbuka.

SOP Safe@Work itu juga memerlukan pembersihan dan pembasmian kuman permukaan di kawasan umum sekurang-kurangnya tiga kali sehari, dan ruang kerja dibersihkan sebelum setiap waktu syif kerja.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata trend peningkatan kes yang melibatkan kluster tempat kerja tidak menunjukkan penurunan ketara, walaupun perintah kawalan pergerakan dilaksanakan.

Ia termasuk langkah-langkah Safe@Work dan mengehadkan hanya 60 peratus pekerja yang bekerja di lokasi tempat kerja bagi sektor swasta.

Kata Noor Hisham, sebanyak 115 kluster tempat kerja dengan 5,392 kes dilaporkan antara 12 Mei sehingga 26 Mei dengan lebih separuh daripada jumlah tersebut melibatkan sektor pengilangan (62 kluster).