Skip to main
Logo Malaysiakini

Sultan Johor cadang PKP penuh bersasar ikut negeri, rantau

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah mencadangkan kepada kerajaan agar melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh secara bersasar bagi negeri bersempadan.

Titah baginda, dengan cara ini bilangan kes Covid-19 dapat ditangani tanpa menutup kegiatan ekonomi negara secara keseluruhannya.

“Saya mencadangkan lockdown penuh secara bersasar mengikut negeri ataupun rantau.

“Contohnya, zon selatan Johor, Melaka dan Negeri Sembilan ‘full lockdown’ selama dua minggu, diikuti zon lain seperti di pantai timur (Pahang, Terengganu, Kelantan). 

"Negeri yang tidak lockdown boleh meneruskan kegiatan ekonomi di bawah peraturan PKP kawasan masing-masing.

“Dengan ini, kita menangani bilangan kes tanpa menutup kegiatan ekonomi negara secara keseluruhannya,” titah baginda dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman Facebook rasmi baginda petang ini.

Pada 21 Mei lalu, kerajaan mengumumkan keputusan sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengetatkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 dengan penambahan sekatan yang lebih ketat ke atas sektor ekonomi dan sosial.

Ini termasuk larangan rentas negeri dan daerah serta sekatan bagi aktiviti sosial, sukan dan rekreasi serta persidangan dan mesyuarat secara bersemuka.

Keputusan itu diambil selepas menyaksikan peningkatan kes positif Covid-19 yang semakin membimbangkan.

Bagaimanapun sesetengah pihak beranggapan PKP 3.0 masih longgar berbanding PKP pertama pada Mac tahun lalu apabila semua aktiviti ditangguhkan kecuali untuk perkhidmatan penting.

Ekoran itu, terdapat pihak menggesa kerajaan melaksanakan PKP penuh bagi menangani wabak Covid-19 yang semakin memburuk kebelakangan ini. 

Hari ini sahaja sebanyak 8,290 kes positif baru Covid-19 direkodkan dengan 61 kematian.

Sementara itu, Sultan Ibrahim berharap buah fikiran ataupun cadangan baginda dipertimbangkan oleh kerajaan negeri dan kerajaan pusat.

Titah baginda, kebimbangan dan ketakutan rakyat terhadap situasi Covid-19 sudah tidak dapat dibendung lagi.

“Sudah tidak terkata lagi kebimbangan dan ketakutan tentang situasi Covid-19 di negara kita. Saya mencadangkan perkara ini atas keprihatinan kepada nasib yang menimpa negara kita.

“Saya harap ia akan dipertimbangkan sebaiknya oleh kerajaan negeri dan kerajaan pusat,” titah baginda lagi.