Skip to main
Logo Malaysiakini

CITF kenal pasti punca tak tempah tapi dapat slot vaksin AstraZeneca

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Nota editor: Berita ini telah dikemas kini dengan memasukkan penafian SELangkah.

Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF) mengenal pasti punca sebilangan individu diberikan janji temu bagi menerima vaksin AstraZeneca walaupun tidak pernah membuat tempahan.

Dalam satu kenyataan hari ini, CITF berkata siasatan awal mendapati beberapa slot vaksin AstraZeneca telah ditempah bagi pihak orang lain dalam jumlah yang ramai, tanpa terlebih dahulu mendapat persetujuan individu terbabit.

Tempahan tersebut katanya telah dilakukan menerusi beberapa alamat IP yang sama.

Justeru CITF telah menghubungi salah satu pihak yang telah membuat tempahan slot berkenaan iaitu pihak SELangkah yang merupakan satu inisiatif kerajaan negeri Selangor.

"Pihak SELangkah turut memaklumkan bahawa mereka telah membuat tempahan bagi slot AstraZeneca tanpa terlebih dahulu membuat semakan sama ada individu dalam pangkalan data ImuniSEL setuju untuk menerima vaksin AstraZeneca maka menggantikan janji temu yang telah diberi sebelum ini, sekiranya ada.

"Pihak SELangkah telah memberi jaminan untuk bekerjasama dengan CITF bagi menyelesaikan isu berbangkit ini dan memastikan bahawa individu yang terbabit akan mendapatkan balik janji temu yang sebelumnya.

"Kesulitan yang timbul ini akan diatasi sebaik mungkin dan CITF akan bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam memastikan lebih ramai individu menerima vaksin dan sasaran imuniti kelompok dapat dicapai," kata CITF dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, SELangkah dalam kenyataannya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan berkenaan yang disifatkan tak berasas.

"Pihak Selangkah menegaskan bahawa kami tiada sebarang penglibatan berkenaan tempahan slot vaksin AstraZeneca seperti yang didakwa.

"Kami juga tidak pernah dihubungi oleh pihak CITF berhubung perkara ini seperti didakwa.

"Pihak Selangkah tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menegluarkan dakwaan palsu yang bertujuan mencemar reputasi kami," kata pegawai eksekutifnya, Tengku Iesta Tengku Alaudin.

ImuniSel merupakan kempen di bawah kerajaan Selangor bagi membantu penduduk di negeri itu mendaftar dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, terutama bagi mereka yang tidak mempunyai peranti sesuai atau kurang mahir menggunakan platform dalam talian.

AstraZeneca kini dimasukkan semula dalam senarai vaksin arus perdana Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Semalam Malaysiakini melaporkan terdapat individu yang mengadu diberikan slot bagi menerima vaksin AstraZeneca walaupun tidak pernah mendaftar untuk membuat tempahan.