Skip to main
Logo Malaysiakini

Ismail Sabri: Langgar SOP punca wujud kluster Aidilfitri

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob menyuarakan kebimbangan berhubung kluster dari sambutan Hari Raya Aidilfitri yang melanggar standard operasi prosedur (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP 3.0).

Ismail berkata susulan daripada itu, sebanyak 24 kluster Aidilfitri direkodkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sehingga 27 Mei ini.

“Kerajaan sebelum ini telah mengeluarkan arahan untuk tidak membenarkan pergerakan rentas negeri dan daerah.

“Manakala sambutan Hari Raya Aidilfitri hanya dalam kalangan ahli keluarga sendiri di dalam rumah yang sama sahaja, namun masih ada pihak yang ingkar SOP itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Hari Raya Aidilfitri tahun ini kerajaan tidak membenarkan rentas daerah, rentas negeri, rumah terbuka, jamuan makan, jamuan selepas solat sunat Aidilfitri, ziarah dari rumah ke rumah atau ziarah ke perkuburan.

Sementara itu, menurut Ismail, secara kumulatifnya, sebanyak 850 kes positif telah direkodkan daripada kluster Aidilfitri setakat ini daripada 3,309 individu yang telah menjalani ujian saringan.

“Paling membimbangkan apabila KKM mendapati kebanyakan kes positif dilaporkan melibatkan individu tidak bergejala telah dikesan berbanding yang bergejala, iaitu 151 kes,” katanya.

Rekod paling tinggi di Tumpat, Kelantan

Data daripada KKM menunjukkan kluster sambutan Aidilfitri paling tinggi direkodkan di Tumpat, Kelantan dengan 224 kes. Manakala kluster Simpang Sahari di Labuan, Sabah merekodkan 123 kes.

“Justeru itu, saya amat berharap rakyat terus patuhi SOP memandangkan kes positif semakin meningkat naik dan hari ini ia telah mencecah lebih 8,000 kes,” tambah Ismail.

Pada 26 Mei, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata KKM telah mengesan 12 kluster Covid-19 yang berkaitan dengan perayaan Aidilfitri yang disambut pada 13 Mei lalu yang melibatkan 470 kes yang disahkan.

Katanya, jumlah itu dijangka akan bertambah dan mungkin melibatkan lebih banyak negeri.

Kes hari ini mencatatkan sebanyak 8,290 kes dengan Selangor terus mencatat angkat terbanyak iaitu 2,052 kes.

Angka kes harian hari ini juga merupakan rekod baru dengan pertama kali negara menyaksikan kes melebihi paras 8,000.