Skip to main
Logo Malaysiakini

Vaksin: K'jaan digesa tinggalkan pendekatan 'monopoli'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kerajaan harus mempertimbangkan gesaan Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta (FPMPAM) untuk melibatkan klinik secara besar-besaran dalam program pemberian vaksin Covid-19.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata, ini berbeza dengan pendekatan sekarang apabila proses vaksinasi 'dimonopoli' oleh pusat pemberian vaksin (PPV).

"Apakah perdana menteri sekarang akan mendengar pandangan masyarakat sivil dan menggunakan pendekatan dan strategi 'keseluruhan kerajaan' dan 'seluruh masyarakat' setelah mencuba untuk menangani pandemik Covid-19 melalui monopoli kerajaan?" katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, FPMPAM berkata kerajaan harus memfokuskan pemberian vaksin Covid-19 melalui pengamal perubatan swasta dan klinik kesihatan kerajaan di seluruh negara dan bukan tertumpu kepada PPV.


Baca: Kumpulan doktor gesa mudahkan proses vaksinasi melalui klinik


Presidennya Dr Steven Chow Kim Weng berkata, seramai 7,000 doktor dan ribuan klinik kesihatan kerajaan boleh dengan mudah memberikan vaksin setiap hari dan bersama-sama hospital swasta mencapai sasaran yang lebih cepat.

Lim berkata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas sempena Tahun Baru lalu menyebut mengenai pengukuhan Malaysia di pentas dunia, namun melakukan perkara sebaliknya.

Katanya, ketika perisytiharan darurat berkuat kuasa pada 11 Januari lalu, terdapat sejumlah 138,224 kes Covid-19 dan 559 kematian direkodkan.

Namun kata Lim, kes kumulatif kini berjumlah 549,514 dan 2,552 kematian.

"Adakah Muhyiddin akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengadakan parlimen dan mengembalikan peranan penting semak dan imbang di Parlimen seperti yang diperuntukkan dalam perlembagaan sekarang yang sudah terang lagi bersuluh bahawa peristiharan darurat hanya memperburukkan lagi wabak Covid-19?" katanya.