Skip to main
Logo Malaysiakini

PH sokong 'total lockdown' dengan 7 syarat

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pakatan Harapan menyokong keputusan Kerajaan melaksanakan sekatan pergerakan penutupan penuh (total lockdown) fasa pertama di seluruh negara selama 14 hari bermula 1 Jun ini.

Jawatankuasa Kos Sara Hidup Pakatan Harapan berkata, sokongan itu dibuat dengan mengenakan tujuh syarat kepada kerajaan.

Tiga daripada tujuh syarat itu adalah kerajaan perlu memberi bantuan one off kepada golongan B40 dan M40, melaksanakan moratorium pinjaman bank selama 3 bulan dan melaksanakan rebat TNB.

Syarat lain adalah kerajaan perlu memastikan bekalan barangan keperluan harian yang mencukupi; memastikan harga barang keperluan tidak naik, memastikan penghantaran barang keperluan ke destinasi tidak terhalang dan memastikan bantuan berupa bakul makanan mesti sampai kepada rakyat yang memerlukan.

"Persetujuan ini kami capai dengan syarat-syarat berikut yang perlu dipenuhi oleh pihak kerajaan," kata jawatankuasa itu dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan pelaksanaan "total lockdown" secara berperingkat berkuatkuasa 1 Jun ini.

Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira situasi terkini penularan Covid-19 di Malaysia dengan jumlah kes harian melebihi 8,000 kes dan kes aktif melebihi 70,000 kes.

Fasa pertama di seluruh negara adalah bagi tempoh 14 hari bermula 1 Jun  hingga 14 Jun melibatkan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi.

Sekiranya lockdown fasa pertama ini berjaya mengurangkan kes-kes harian Covid-19, kerajaan akan melaksanakan lockdown fasa kedua, iaitu dengan membenarkan pembukaan semula beberapa sektor ekonomi yang tidak melibatkan perhimpunan besar.

Langkah seterusnya ialah memasuki fasa ketiga, iaitu melaksanakan perintah kawalan pergerakan seperti yang berkuat kuasa sebelumnya.