Skip to main
Logo Malaysiakini

Jangan buat pembelian panik, pesan KPDNHEP menjelang 'total lockdown'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menggesa orang ramai agar tidak melakukan pembelian panik, susulan 'total lockdown' yang akan dikuatkuasakan bermula Selasa ini.

Menterinya Alexander Nanta Linggi berkata, ia boleh menyebabkan gangguan bekalan di kedai dan pasar raya.

Dia juga memberi jaminan penguatkuasa KPDNHEP akan memastikan bekalan barang keperluan asas mencukupi sepanjang tempoh perintah itu.

"PDNHEP ingin menyeru kepada semua pengguna supaya tidak melakukan pembelian panik dan berlebihan bagi mengelakkan gangguan bekalan di premis-premis jualan.

"Pemantauan dan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan oleh penguatkuasa kementerian setiap hari bagi memastikan keberadaan bekalan barangan keperluan asas di semua negeri," katanya dalam kenyataan.

Menurut Alexander, perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama yang dilaksanakan tahun lalu tidak menyaksikan kekurangan bekalan barangan asas.

"Kementerian yakin dan memberi jaminan bahawa bekalan barang keperluan di seluruh negara masih stabil dan mencukupi semasa fasa lockdown ini," katanya lagi.

Dia juga menggesa peniaga memainkan peranan dalam mengekang Covid-19, dengan memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi fasa pertama selama 14 hari. Ia dijangka sama seperti PKP pertama tahun lalu.