Skip to main
Logo Malaysiakini

Pengguna LRT, MRT pada 27 dan 28 Mei diminta jalani ujian jika bergejala

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Penumpang yang menaiki tren Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT) pada 27 dan 28 Mei lalu diminta membuat saringan kesihatan di pusat kesihatan terdekat jika terdapat gejala berkaitan Covid-19.

Ini selepas dua penumpang menyatakan mereka didapati positif Covid-19 selepas menggunakan pengangkutan awam itu pada waktu puncak pagi semalam dan kelmarin.

Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid KL) yang merupakan anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad yang mengendalikan laluan LRT, MRT dan monorel di Lembah Klang berkata laluan terlibat adalah seperti berikut:

1) Laluan LRT Kelana Jaya (Wangsa Maju ke Pasar Seni) antara jam 7.30 pagi dan 8.30 pagi pada 28 Mei

2) Laluan MRT Kajang (Pasar Seni ke Semantan) antara jam 7.30 pagi dan 8.30 pagi pada 28 Mei

3) Laluan LRT Kelana Jaya (Taman Melati ke KLCC) - antara 8 pagi dan 9 pagi pada 27 Mei

Dalam kenyataannya, Rapid KL juga mengalukan-alukan sikap keterbukaan kedua-dua penumpang berkenaan.

"Kami menasihati para penumpang untuk sentiasa mematuhi SOP ketika menggunakan perkhidmatan tren khususnya pemakaian pelitup muka dengan betul.

"Jika boleh, gunakan pelitup muka berganda (double face mask) untuk menjaga kesihatan masing-masing," kata kenyataan itu.

Menurutnya lagi, kesemua tren Rapid KL disanitasi setiap malam untuk memastikan keselamatan dan keselesaan para penumpang mereka.

"Sekiranya mempunyai tanda-tanda bergejala, elakkan menggunakan perkhidmatan tren dan meletakkan para penumpang lain dalam risiko,” tambah kenyataan itu.