Skip to main
Logo Malaysiakini

Zuraida: Tiada anak patut dinafi hak kerakyatan kerana tak sah taraf

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin membangkitkan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam satu kes kewarganegaraan anak tidak sah taraf, baru-baru ini.

Zuraida merujuk keputusan panel hakim Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan permohonan kewarganegaraan seorang anak tidak sah taraf kepada bapa warga tempatan dan ibu warga asing, yang berusia 11 tahun.

Dia berkata akan membangkitkan kes tersebut kepada menteri bertanggungjawab atau kabinet bagi memastikan kanak-kanak itu mendapat status kewarganegaraan secara pendaftaran.

"Walaupun kami menghormati keputusan yang dibuat badan kehakiman dalam melaksanakan tugas perlembagaan mereka, saya perlu menyatakan tidak setuju dalam kes ini.

"Kes ini, yang mengesahkan lagi kes-kes berkaitan status kerakyatan anak tidak sah taraf yang telah pun diputuskan sebelum ini, sangat bertentangan dengan semangat keadilan dan belas ihsan.

"Tiada anak yang patut dinafikan hak kewarganegaraan atas dasar dia tidak sah taraf," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kanak-kanak tersebut lahir pada Oktober 2010 dan dibawa ke Malaysia oleh ibunya yang merupakan warga Filipina, yang berkahwin dengan bapanya - seorang warga Malaysia - pada Februari 2011.

Dalam keputusan majoriti 4-3 pada 28 Mei, hakim Rohana Yusof menyorot kepada Perkara 14 Perlembagaan dan mengatakan bahawa kewarganegaraan dari sisi undang-undang harus ditentukan pada saat lahir, bukan setelah lahir.

Keputusan majoriti yang menolak rayuan kanak-kanak itu adalah oleh Rohana dan Hakim Mahkamah Persekutuan Vernon Ong Lam Kiat, Zabariah Mohd Yusof dan Hasnah Mohammed Hashim manakala Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan dan Mary Lim Thiam Suan sebaliknya.

'Akan bangkit dalam kerajaan'

Dalam pada itu, Zuraida turut membangkitkan Perkara 17 dalam Bahagian III Perlembagaan Persekutuan, yang digunakan dalam penghakiman kes tersebut.

Perkara 17 antara lain menyatakan anak tidak sah taraf mengikut kewarganegaraan ibunya.

Menyifatkannya sebagai "ketinggalan zaman", Zuraida berkata dia komited ke arah pemansuhan atau pemindaan perkara tersebut dan akan membangkitkannya di dalam kerajaan.

"Saya (juga) akan membangkitkan kes ini kepada menteri bertanggungjawab atau di kabinet, demi memastikan dia mendapat status kewarganegaraan secara pendaftaran, mengikut Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan," katanya yang juga pengasas Majlis Pimpinan Politik Wanita Malaysia.

Terdahulu, peguam dan kumpulan kesamarataan gender menggesa reformasi undang-undang susulan keputusan tersebut.

Pengerusi bersama Jawatankuasa Perlembagaan Majlis Peguam Karen Cheah berkata "kesahtaraf" anak tidak boleh bergantung kepada kewarganegaraan kerana ia memberi kesan kepada hidup anak itu.

Kumpulan Tindakan Bersama bagi Kesaksamaan Gender (JAG) pula menekankan bahawa jantina ibu bapa Malaysia seharusnya "tidak relevan" dalam petisyen kewarganegaraan dan meminta agar perlembagaan berkenaan soal itu dipinda.