Skip to main
Logo Malaysiakini

PSM gesa KDN laksana program pengampunan untuk warga asing

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seorang anggota jawatankuasa pusat PSM menggesa Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin membatalkan rancangan Jabatan Imigresen untuk menjalankan operasi menahan warga asing tanpa dokumen semasa sekatan pergerakan penuh - atau 'total lockdown' - nanti.

Sharan Raj berkata, pemberian pengampunan adalah langkah lebih bijaksana memandangkan penahanan akan menyebabkan pusat tahanan kian sesak.

"Hamzah berkata Jabatan Penjara sedia untuk memperuntukkan pusat tahanan tambahan tetapi menurut Suhakam, penjara Malaysia sudah sangat sesak, dan ia akan membuka risiko penularan Covid-19.

"Langkah menahan warga asing tanpa dokumen di penjara akan meningkatkan kes Covid-19 dan risiko untuk tahanan dijangkiti wabak ini adalah 5.5 kali ganda berbanding orang awam," dakwanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, keutamaan Hamzah pada masa ini adalah untuk menjadikan penjara kurang sesak, bukannya menambah bilangan tahanan yang akan memburukkan lagi masalah itu, di tengah-tengah wabak.

"Kementerian Dalam Negeri boleh mengurangkan jumlah tahanan sebanyak 80 peratus, memandangkan 25 peratus tahanan adalah yang sedang menunggu perbicaraan dan 55 peratus tahanan kerana kesalahan berkaitan dadah," katanya.

Dia berkata masalah penyalahgunaan dadah perlu dinyah jenayah, agar penagih boleh dirawat sebagai pesakit dan bukannya penjenayah.

"Menteri Dalam Negeri juga digesa untuk melaksanakan program pengampunan dan penghantaran pulang bagi membolehkan warga asing tanpa dokumen tampil tanpa bimbang akan dikenakan tindakan dan ditahan," katanya lagi.

Semalam, Hamzah dilaporkan berkata pihak berkuasa bersiap sedia untuk membuat lebih banyak penahanan terhadap mereka yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, sepanjang dua minggu pelaksanaan sekatan pergerakan penuh bermula 1 Jun ini.

Hamzah Zainudin

Hamzah berkata ini termasuk penahanan di kawasan perairan dan laluan haram untuk menghentikan kemasukan warga asing baru yang tidak mempunyai dokumen, serta pemeriksaan bersama di penempatan warga asing di seluruh negara.

“Segala pematuhan SOP perlu diperketatkan terutama laluan panas yang menjadi tempat pendaratan pendatang asing.

“Manakala JIM (Jabatan Imigresen Malaysia) kita telah berbincang, mesti melakukan beberapa operasi bersama JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) kerana kita merasakan sudah setahun segala apa SOP, PKP, kita lakukan dari fasa pertama, berfasa-fasa, kalau masih ada orang yang degil, maksud saya warga-warga asing, kita akan tangkap, kita akan pastikan penjara-penjara bersedia,” katanya.

Maklum berkenaan masalah kesesakan di penjara dan pusat tahanan ekoran operasi yang dibuat ketika PKP tahun lalu, Hamzah berkata kali ini pihaknya bersedia dengan penjara dan depot satelit bagi mengelakkan perkara itu.

Sejumlah 55,000 anggota polis akan ditugaskan sepanjang sekatan pergerakan penuh, iaitu peningkatan dari 37,000 kakitangan sedia ada di seluruh negara, katanya lagi.

Semalam, Pengarah Eksekutif Inisiatif Utara-Selatan, Adrian Pereira berkata sebarang operasi yang disasarkan terhadap warga asing tanpa dokumen semasa tempoh sekatan tersebut akan menjejaskan program vaksinasi yang sedang berjalan.

[Baca berita asal]