Skip to main
Logo Malaysiakini

Beritahu kami bila boleh capai 150,000 dos vaksin sehari? - Yeo

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin perlu menjelaskan bilakah kerajaan akan dapat mencapai kadar vaksinasi harian sebanyak 150,000 dos sehari, kata bekas menteri Yeo Bee Yin.

Ahli Parlimen Bakri itu juga meminta rakan sejawatnya dari Rembau untuk menjelaskan apakah 150,000 dos vaksin sehari itu merupakan kadar vaksinasi maksimum atau purata.

Ini selepas Khairy selaku menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsan berkata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba telah menandatangani perjanjian untuk mendapatkan 12.8 juta dos Pfizer pada 21 Mei, sekali gus meningkatkan jumlah pesanan Malaysia kepada 44.8 juta dos dan menyasarkan pemberian 150,000 suntikan setiap hari pada bulan Jun.

"Dengan meningkatnya kadar jangkitan, kadar vaksinasi sepatutnya meningkat melebihi 150,000 dos sehari dengan melibatkan doktor swasta dan klinik kerajaan di seluruh negara," katanya dalam satu kenyataan.

Yeo berkata kerajaan harus mempermudahkan sistem pendaftaran dan penyimpanan rekod vaksinasi Covid-19 serta bukannya terlalu bergantung kepada MySejahtera dan sistem yang digunakan sekarang.

"Berdasarkan anggaran penawaran dan permintaan sebelum ini oleh kerajaan, vaksin terkumpul yang diberikan seharusnya sekitar 6 juta sekarang (dengan anggaran kadar penggunaan 80 peratus daripada jumlah penawaran sekitar 8 juta pada akhir Mei)," katanya.

Bagaimanapun akibat kesulitan mendapatkan bekalan vaksin, setakat 27 Mei 2021, hanya 2.7 juta dos vaksin diberikan - iaitu 1,725,364 dos pertama dan 987,012 dos kedua- yang masing-masing sekitar 63 peratus dan 37 peratus daripada jumlah vaksin yang diberikan.

"Dari segi peratusan penduduk, hanya 5.4 peratus dan 3 peratus penduduk telah menerima sekurang-kurangnya dos pertama dan diberi vaksin sepenuhnya," katanya.

Yeo mendakwa berdasarkan angka ini peratusan penduduk yang sepatutnya mendapat vaksin adalah pada kadar 12 peratus dan 7 peratus sekarang.

Dia juga bertanya kepada Khairy mengenai kos akibat kelewatan pemberian vaksin.

"Mungkin kita boleh melihat kajian kes di AS dan impak vaksinasi terhadap jumlah kes positif (AS mempunyai nisbah taburan dos pertama dan kedua yang serupa seperti Malaysia).

"Antara kadar vaksinasi kira-kira 5.4 peratus (dos pertama) dan 3 peratus (dos kedua) dan 12 peratus dan 7 peratus adalah lebih tinggi daripada 40 peratus penurunan kes positif," katanya.

Dia mengakui tidak mungkin dapat membuat perbandingan secara langsung kerana terdapat faktor lain seperti pergerakan orang ramai.

"Namun, apa yang boleh kita simpulkan adalah bahawa kelewatan pemberian vaksin memberi kesan yang signifikan terhadap jumlah kes positif setiap hari.

"Lebih daripada 1,000 kematian akibat Covid pada bulan Mei sahaja.

"Sekiranya pemberian vaksin kita berjalan seperti yang telah dirancang oleh kerajaaan sebelumnya, orang-orang ini tidak seharusnya terkorban," kata Yeo.

[Baca berita penuh]