Lintasan pesawat Israel: Mana suara menteri PAS, Umno? - Shazni
Pemuda Pakatan Harapan (PH) mempersoalkan tindakan berdiam diri menteri PAS dan Umno dalam isu lintasan pesawat Israel di ruang udara negara yang dilaporkan, baru-baru ini.
Ketua Pemuda PH, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata dasar dan polisi kerajaan sepatutnya mengarah kepada Israel sebagai sebuah kuasa imperialisme yang wajar dilawan.
"Namun kalau itu pun gagal difahami, malah diberikan segala mak nenek justifikasi untuk berlembut pula akhirnya, amatlah malang keadaannya bagi kerajaan yang gemar bermuka-muka ini.
"Lantas ingin ditanyakan soalan terakhir, di mana menteri PAS dan Umno? Tunduk kepada MCA kah?" katanya dalam kenyataan.
Semalam Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) mengesahkan bahawa sebuah pesawat Israel telah melintasi ruang udara Malaysia baru-baru ini namun menyatakan tiada corak penerbangan yang tidak normal atau dilihat berlegar-legar di ruang udara Malaysia.
MOT memaklumkan bahawa pesawat awam itu telah mengikuti laluan penerbangan komersial yang digunakan oleh mana-mana pesawat awam ketika melintasi ruang udara Malaysia menurut peraturan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
Bagaimanapun Shazni berkata penjelasan itu seakan-akan membayangkan negara tidak boleh langsung menghalang mana-mana pesawat dari negara anggota ICAO, asalkan ‘tidak mengancam keselamatan dan kedaulatan negara’.
Shazni turut membandingkan ketegasan Indonesia pada 2017 yang menghalang pesawat Israel melalui ruang udara mereka.
"Apakah ketika itu negara berkenaan (Indonesia) bukan anggota ICAO?
"Tidakkah (Perdana Menteri) Muhyiddin Yassin dan para menterinya ini tahu betapa resahnya rakyat apabila mendapat tahu pesawat Israel dengan senang-lenangnya boleh melintas ke ruang udara negara, ketika beberapa hari sebelumnya rakyat Malaysia memberikan sokongan yang jitu kepada perjuangan rakyat Palestin?" kata Shazni.
Tambah Shazni hal ini menunjukkan sikap kerajaan yang 'bermuka-muka' dan hanya mengecam Israel 'sekadar di mulut'.
"Akibat terbiasa bermuka-muka itulah yang akhirnya tanpa rasa bersalah telah membenarkan pesawat Israel melalui ruang udara negara.
"Kalau pun mahu bersangka baik bahawa pesawat itu tidak mengancam keselamatan negara, tidakkah berwaspada dengan tidak membenarkan itu jauh lebih baik?" katanya.
Bekas menteri pengangkutan Anthony Loke turut mempersoalkan perkara sama.
Loke turut mendakwa isu tersebut pasti akan dihebohkan jika ia berlaku di saat dia masih memegang jawatan itu.
"Bayangkanlah kalau kejadian ini berlaku semasa PH memerintah dan saya masih memegang jawatan menteri pengangkutan - tentu heboh satu Malaysia kan?
"Tak dengar pula suara-suara lantang sekarang?" soalnya ringkas di Facebook.
Untuk rekod, pada Feb 2017 pesawat yang membawa perdana menteri Israel Benjamin Netayahu ketika itu tidak dibenarkan melintasi ruang udara Indonesia, apabila pesawat itu terbang dari Singapura ke Sydney, Australia.
Ini menyebabkan penerbangan itu memakan masa selama 11 jam.
Kebiasaannya penerbangan langsung Singapura ke Sydney hanya mengambil masa sekitar lapan setengah jam.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai