Skip to main
Logo Malaysiakini

360 klinik swasta daftar jadi PPV di Wilayah Persekutuan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan diwujdukan di Wilayah Persekutuan selepas 360 klinik swasta mendaftar untuk tujuan tersebut, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa.

"Sebanyak 360 klinik swasta dalam Wilayah Persekutuan sudah mendaftar untuk dijadikan PPV dan 273 daripadanya sudah menerima surat anugerah (LOA).

"Selain itu, 40 'mobile trucks' sedang dipersiapkan. Sasaran untuk capai tiga kali ganda kadar sekarang. Semoga Allah permudahkan," menurut ciapan di Twitternya pada Sabtu.

Jumaat lalu, Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta (FPMPAM) menggesa kerajaan melibatkan klinik swasta dan kerajaan secara besar-besaran dalam usaha memberikan vaksin Covid-19 kepada penduduk.

Presidennya, Dr Steven Chow berkata kerajaan harus memfokuskan pemberian vaksin Covid-19 di klinik swasta dan klinik kerajaan berbanding PPV sekarang.

Chow berkata, sebanyak 7,000 doktor di klinik kesihatan kerajaan dan swasta boleh dengan mudah memberikan vaksin kepada orang ramai bagi mencapai sasaran yang lebih cepat.

Pada 6 Mei lalu, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba dilaporkan berkata sebanyak 2,448 daripada keseluruhan 8,000 hospital dan klinik swasta di negara ini telah mendaftar sebagai PPV menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.