Skip to main
Logo Malaysiakini

Mufti Perak meninggal dunia

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Mufti Perak Harussani Zakaria telah menghembuskan nafas terakhir sebentar tadi.

Khabar duka itu dimaklumkan di laman Facebook Jabatan Mufti Negeri Perak sebentar tadi.

“Dukacita dimaklumkan, Mufti Perak Tan Sri Dato' Seri Dr Hj Harussani bin Hj Zakaria baru sahaja meninggal dunia," menurut hantaran itu yang dimuat naik pada pukul 3.04 petang tadi.

Allahyarham dilaporkan disahkan positif Covid-19 pada 11 Mei, dan pada minggu lalu, dia dilaporkan dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

Menurut laporan Sinar Harian yang memetik Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim, allahyarham meninggal dunia pada jam 2.45 petang tadi (Ahad)

Memegang jawatan Mufti Perak sejak 1985, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 82 tahun.

Beberapa ahli politik berkongsi ucapan takziah mereka buat allahyarham, antaranya timbalan menteri belia dan sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal; naib presiden Amanah merangkap ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan juga ketua pembangkang Anwar Ibrahim.

“Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un. Takziah kepada keluarga Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria atas musibah besar ini. Saya turut berduka dan mendoakan.

“Almarhum Tan Sri Dr Harussani Zakaria adalah kenalan dan sahabat sejak beliau menjadi kadi besar Pulau Pinang dan kemudiannya mengurus perkahwinan saya dan Azizah pada tahun 1980.

“Mendoakan agar keluarga almarhum tabah dan kuat saat ini,” kata Anwar di media sosialnya.

Tidak ketinggalan menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga bekas mufti Wilayah Persekutuan, Zulkifli Mohamad, yang berkongsi gambar pertemuan terakhir mereka.

“Ini gambar kenangan yang masih saya simpan, ziarah terakhir sekitar tiga tahun lalu. 

"Setiap kali ke Perak, saya akan usahakan untuk mengunjungi beliau. Memohon doa dan restu ‘orang lama’ yang juga ilmuan yang amat disegani.

“Moga Allah SWT tempatkan beliau bersama orang-orang yang soleh, disisi-Nya. Sama-sama kita sedekahkan bacaan Surah al-Fatihah,” kongsi Zulkifli di Facebook.