Skip to main
Logo Malaysiakini

131 individu terima vaksin Covid-19 sistem pandu lalu di HUSM

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Projek perintis vaksin Covid-19 melalui sistem pandu lalu dilaksanakan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kota Bharu, baru-baru ini berjaya memberi suntikan kepada 131 individu setakat ini.

Pengarah HUSM, Profesor Dr Ahmad Sukari Halim, berkata ia dijalani melalui dua fasa iaitu pada Mac dan Mei.

Menurutnya, fasa pertama membabitkan 123 individu yang diadakan pada 22 Mac lalu, terdiri daripada kakitangan hospital manakala fasa kedua pula pada 25 Mei lalu melibatkan lapan individu iaitu pesakit yang berdaftar dengan HUSM.

"Fasa pertama pandu lalu dibuat di luar pusat pemberian vaksin (PPV), manakala fasa kedua dilakukan di luar dewan utama Kampus Kesihatan HUSM.

"Hanya mereka yang terpilih mengikut kriteria yang ditetapkan sahaja menerima suntikan vaksin melalui pandu laju itu," katanya ketika dihubungi media, hari ini.

Dr Ahmad Sukari berkata, pesakit berkenaan perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan PPV Khas (SPPV) serta didapati layak oleh doktor penilai.

Terdahulu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata pihaknya akan mengeluarkan arahan dan garis panduan mengenainya sistem tersebut untuk semua negeri yang mahu melaksanakan sistem pemberian vaksin menerusi pandu lalu.

Jelasnya beberapa negeri sudah meminta kebenaran untuk menjalankan sistem itu susulan keputusan projek rintis pemberian vaksin secara pandu lalu di HUSM yang memberangsangkan.

"Saya minta tempoh 24 jam untuk mengeluarkan garis panduan pelaksanaan pemberian vaksin pandu lalu ini. Kita perlu pastikan ada garis panduan keselamatan, tak boleh pandu lalu, terus cucuk (vaksin) dan terus pergi," katanya.

Dalam perkembangan sama Khairy menerusi ciapan di Twitter berkata, usaha ini akan diperluas untuk meningkatkan lagi kadar vaksinasi dan pada masa yang sama memberikan kemudahan kepada penerima.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.