K'jaan digesa pinda Perlembagaan lindungi hak asasi kanak-kanak
Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (Proham) menggesa kerajaan mengambil langkah segera untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi melindungi hak asasi kanak-kanak yang tidak bersalah.
Gesaan itu susulan keputusan panel hakim Mahkamah Persekutuan yang membatalkan permohonan kewarganegaraan seorang anak tidak sah taraf kepada bapa warga tempatan dan ibu warga asing, yang berusia 11 tahun.
Proham berkata pindaan perlu dilakukan segera untuk mencerminkan penghakiman minoriti dalam kes itu.
Dalam kes itu, empat panel hakim menolak permohonan tersebut manakala 3 panel membuat keputusan sebaliknya.
"Semua manusia berhak mendapat hak asasi manusia tanpa sebarang diskriminasi. Ini termasuk hak kewarganegaraan, yang tidak boleh berdasarkan jantina atau kesahihan kelahiran.
"Melucutkan hak kewarganegaran anak berdasarkan status perkahwinan ibu bapa dia adalah penolakan hak asasi," kata Proham dalam kenyataan hari ini.
Kata NGO itu lagi, penafian itu bukan untuk kebaikan kanak-kanak, yang seharunya menjadi pertimbangan penting untuk mahkamah di mana-mana negara.
Kenyataan itu ditandatangani pengerusi Proham Michael Yeoh, timbalan pengerusi Denison Jayasooria, setiausaha agung Dr Khoo Ying Hooi dan ahli exco Khutubul Zaman dan Shad Saleem Faruqi.
Dalam keputusan yang dibuat 28 Mei lalu, hakim Rohana Yusof membangkitkan Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan dan mengatakan dari sudut undang-undang, kewarganegaraan harus ditentukan pada saat lahir, bukan setelah lahir.
Kanak-kanak tersebut lahir pada Oktober 2010 dan dibawa ke Malaysia oleh ibunya yang merupakan warga Filipina, yang berkahwin dengan bapanya - seorang warga Malaysia - pada Februari 2011.
Keputusan majoriti yang menolak permohonan kanak-kanak itu adalah oleh Rohana dan hakim Mahkamah Persekutuan Vernon Ong Lam Kiat, Zabariah Mohd Yusof dan Hasnah Mohammed Hashim manakala Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan dan Mary Lim Thiam Suan sebaliknya.
Tengku Maimun membenarkan permohonan itu atas dasar kanak-kanak tersebut menepati semua keperluan untuk kerakyatan berdasarkan undang-undang.
Katanya, status sah taraf seseorang tidak relevan untuk menentukan kerakyatan asalkan identiti bapa kandungnya diketahui.
Proham memuji penghakiman tiga hakim Mahkamah Persekutuan berhubung kes terbabit.
"Oleh kerana Perlembagaan Persekutuan adalah instrumen yang terus berkembang, Proham menggesa badan kehakiman mengambil sikap lebih liberal ketika menafsirkan Perlembagaan untuk memastikan hak asasi manusia diberikan kepada warga dan keturunannya, dan khususnya Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan semua orang adalah sama di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan undang-undang yang sama.
"Pematuhan kepada tafsiran literal Perlembagaan yang menolak hak asasi manusia terhadap anak harus dielakkan dengan segala cara kerana tidak bermanfaat bagi mana-mana pihak yang berkenaan," kata Proham lagi.
Semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin menyuarakan kebimbangan berhubung keputusan itu dan berkata akan membangkitkannya kepada menteri bertanggungjawab.
Dia juga menyuarakan komitmen terhadap pemansuhan atau pemindaan bahagian dalam Perkara 17 Perlembagaa Persekutuan, yang menyatakan anak tidak sah tara mengikut kewarganegaraan ibunya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai