Skip to main
Logo Malaysiakini

Johor patut mula lakukan ujian saringan besar-besaran Covid-19

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Dua ahli parlimen berkata kerajaan Johor sepatutnya memulakan gerakan ujian saringan Covid-19 secara besar-besaran ketika kadar positif jangkitan wabak di negeri itu meningkat ketara akhir-akhir ini.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan Teo Nie Ching dan Yeo Bee Yin, mereka berkata dalam mesyuarat membabitkan wakil rakyat Johor pada Khamis lalu, mereka dimaklumkan kadar jangkitan Covid-19 bertambah daripada 5.2 peratus antara 20 April hingga 3 Mei menjadi 9.8 peratus pada 4 Mei hingga 17 Mei.

Hari ini Menteri Kesihatan Dr Adham Baba memaklumkan untuk tempoh 23 Mei hingga 29 Mei kadar jangkitan untuk negeri terbabit ialah 5.79 peratus.

Pada Mei tahun lalu Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menyarankan agar kadar 5 peratus menjadi nilai ambang untuk pembukaan semula ekonomi.

Sesetengah pihak pula berpendapat kadar jangkitan kurang daripada 5 peratus membayang bahawa gerakan mengesan pesakit melalui ujian saringan tidak cukup dilakukan.

Teo dan Yeo berkata Johor wajar memberi perhatian kepada gesaan Ketua Pengarah KesihatanDr Noor Hisham Abdullah agar kerajaan negeri melaksanakan ujian saringan massa RTK-Ag sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh selama dua minggu mulai tengah malam ini.

Mereka yang masing-masing ahli parlimen Kulai dan Bakri berkata Johor wajar mencontohi Selangor dengan menyediakan 1,500 kit ujian pengesanan Covid-19 kepada setiap Adun di negeri terbabit.

"Kadar positif yang konsisten berada di atas paras 5 peratus yang ditetapkan oleh WHO memerlukan lebih banyak ujian saringan.

"Ini juga menunjukkan penularan yang lebih tinggi dan mungkin terdapat lebih banyak pesakit Covid-19 dalam komuniti yang belum diuji.

"Kerajaan Johor harus memainkan peranannya selama sekatan pergerakan penuh ini untuk segera mengekang wabak Covid-19 secepat mungkin," kata mereka.

Ketika ini Johor menjadi negeri keempat dalam Malaysia yang mencatatkan jumlah kes positif Covid-19 serta kematian yang ada kaitan dengan wabak tersebut.