Skip to main
Logo Malaysiakini

Kelantan ingatkan jangan potong kuota vaksin negeri

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Rancangan kerajaan persekutuan untuk melaksanakan program vaksinasi mega di Lembah Klang diharap tidak merencatkan jadual pemberian vaksin di Kelantan.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, pihaknya menyambut baik langkah yang diambil oleh Menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin.

"Cuma saya minta jangan ganggu bekalan vaksin kepada negeri. Bagi program vaksinasi mega, menteri perlu mendapatkan bekalan tambahan yang lain.

"Kalau diganggu program vaksinasi negeri-negeri ia akan merencatkan perencanaan yang sedia ada.

"Saya harap menteri dengar permohonan kita supaya dengan program vaksinasi negeri akan dipercepatkan," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di Kota Bharu, hari ini.

Izani berkata, pihaknya hanya menyatakan kebimbangan selepas pengumuman program vaksinasi secara besar-besaran tersebut.

Jelasnya, ini kerana kes Covid-19 di Kelantan kebelakangan ini agak tinggi dan semua daerah di Kelantan adalah zon merah, maka solusi paling tepat adalah mempercepatkan pemberian vaksin kepada rakyat.

"Kita pun dah gerakkan kempen kesedaran kepada rakyat dengan kempen-kempen vaksinasi, selain menyediakan lokasi tambahan sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) dan pendedahan menyeluruh mengikut kawasan-kawasan.

"Jadi program yang kita rancang ini sekiranya bekalan vaksin itu mencukupi ia dirasakan dapat menyelesaikan program vaksinasi dengan baik. Jadi kita berharap bekalan vaksin untuk Kelantan mencukupi dan dipercepatkan," jelasnya.

Sebagai rekod setakat ini seramai 110,000 penduduk di Kelantan sudah menerima dos pertama vaksin, manakala 60,000 penduduk sudah melengkapkan kedua-dua dos.

Sementara itu, Izani yang juga anggota dewan undangan negeri (Adun) Kijang berkata, Kelantan akan dibekalkan dengan 200,000 dos setiap bulan sekali gus diharap ia dikekalkan.

"Bila kita dapat tahu kerajaan persekutuan mahu melaksanakan program vaksinasi secara besar-besaran di Lembah Klang, saya bimbang diambil sekali bekalan negeri.

"Kalau diambil kuota kita, kasihanlah kita, sebab kita dah buat persediaan dan berkempen. 

"Kalau tiba-tiba bekalan tak cukup, apa pula kesannya terpaksa kita tanggung," ujarnya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.