Sabah umum SOP sekatan pergerakan penuh
Kerajaan Negeri Sabah hari ini mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) bagi Sekatan Pergerakan Penuh dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa selama 14 hari bermula esok.
SOP diumum Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun itu dilihat tidak banyak berbeza dengan SOP sekatan pergerakan penuh diumum Kerajaan Persekutuan semalam, namun mempunyai beberapa perincian dan penyesuaian untuk negeri ini.
Masidi berkata operasi perniagaan makanan seperti restoran, kafe, kedai makan, trak makanan, penjaja tepi jalan, penjaja bergerak, medan selera, pusat penjaja dan kiosk adalah dibenarkan bagaimanapun terhad antara 7 pagi hingga 7 malam.
"Pembelian makanan pula terhad untuk pembelian secara pandu lalu, penghantaran dan bawa pulang sahaja, manakala makan di premis atau makan di kenderaan tidak dibenarkan," katanya menerusi satu kenyataan di Kota Kinabalu hari ini.
Kedai runcit, kedai serbaneka, pasar raya mini, pasar raya, pasar raya besar dan bahagian seksyen makanan dan minuman, serta keperluan asas dibenarkan beroperasi, bagaimanapun hanya dibenarkan dibuka dari 7 pagi hingga 7 malam dan pengunjung tidak dibenarkan berada lebih dari sejam di premis, manakala kompleks beli-belah ditutup.
Masidi (gambar, atas) berkata pasar borong pula dibenarkan beroperasi dari 12.01 tengah malam hingga 6 pagi dan pasar awam 6 pagi hingga 3 petang, namun pasar tamu, pasar minggu, pasar tani dan pasar malam tidak dibenar beroperasi sepanjang tempoh berkenaan.
Beliau berkata solat Jumaat tidak dibenar diadakan di seluruh masjid dalam negeri ini sepanjang tempoh berkenaan dan hanya solat fardu berjemaah, solat jenazah dan solat hajat dibenarkan dilakukan di masjid serta surau negeri ini dengan syarat jemaah tidak melebihi 12 orang ahli jawatankuasa masjid dan surau terbabit.
"Aktiviti rumah ibadat selain Islam dibenarkan terhad kepada maksimum 12 orang ahli jawatankuasa rumah ibadat tersebut, manakala kehadiran penganut lain adalah tidak dibenarkan...pengebumian dan pemakaman juga dibenarkan tetapi terhad kepada 15 orang sahaja," katanya.
Katanya akad nikah dibenarkan dengan kehadiran lapan orang dan diadakan di pejabat agama sahaja, manakala perkahwinan selain daripada penganut Islam dibenarkan di rumah ibadat masing-masing dengan kehadiran 12 orang dan pendaftaran perkahwinan dibenarkan dengan syarat ditetapkan Jabatan Pendaftaran Negara.
Beliau berkata bot kecil dari pulau negeri Sabah ke tanah besar dibenarkan dengan kapasiti 50 peratus dari 6 pagi hingga 6 petang, feri dan bot komersial juga dibenarkan dengan kapasiti 50 peratus penumpang, manakala pergerakan individu ke Labuan dengan menggunakan bot persendirian tidak dibenarkan.
"Bot nelayan di kawasan Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esszone) yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan dibenarkan beroperasi 6 pagi hingga 2 petang di jeti dibenarkan sahaja dan kebenaran ini tertakluk kepada permit dikeluarkan ketua polis daerah berkenaan," katanya.
Masidi berkata pergerakan kapal bukan konvensional (NCS) atau “kumpit” Indonesia serta Filipina keluar masuk ke Sabah dan operasi kapal NCS Filipina melalui Sabah untuk ke Labuan adalah tidak dibenarkan serta pergerakan kapal pengangkutan ikan Indonesia ke Tawau juga tidak dibenarkan.
— Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai