Skip to main
Logo Malaysiakini

Kritik Sultan Johor, ibu selebriti selesai beri keterangan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Polis Selangor telah mengambil keterangan ibu seorang selebriti popular hari ini berhubung dakwaan mengkritik Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menerusi akaun Instagram miliknya baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Nik Ezanee Mohd Faisal berkata ibu selebriti itu selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada 10 pagi tadi dan pihaknya akan memanggil beberapa lagi saksi bagi melengkapkan siasatan.

“Ibu selebriti itu sudah selesai memberi keterangan dan siasatan akan diteruskan dengan memanggil saksi-saksi lain selepas ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam, media melaporkan kes itu sebelum ini disiasat polis Kuala Lumpur namun kemudian diserah kepada polis Selangor selepas mendapati insiden berkenaan berlaku di negeri itu.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Anuar Omar menerusi kenyataan memaklumkan pihaknya menjalankan siasatan berhubung satu paparan di akaun Instagram milik ibu seorang selebriti popular yang didakwa mengkritik Sultan Ibrahim.

Hasil siasatan mendapati seorang wanita berumur 32 tahun mengaku telah tersilap menggunakan Instagram ibu selebriti berkenaan dengan membuat kapsyen berbentuk kritikan di Instastory akaun Instagram itu.

- Bernama