MMA anggap Khairy tak berminat guna khidmat doktor swasta
Tiada sebarang libat urus di antara Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, dengan doktor swasta untuk membabitkan mereka dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) fasa kedua dan ketiga, kata Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Subramaniam Muniandy.
Katanya MMP sudah menulis secara rasmi kepada Khairy pada 2 Mac lalu untuk menyatakan keinginan mereka bertemu dan membincangkan pembabitan doktor swasta dalam PICK namun ia tidak berbalas setakat ini.
"Tidak ada komunikasi rasmi dari Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) sehingga sekarang.
"Menteri tidak menunjukkan minat untuk melibatkan doktor am (GP)," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Subramaniam mempersoalkan kenapa hanya ada 2,500 doktor am yang mendaftar dalam program tersebut.
"Menteri seharusnya merendah diri untuk bertemu dengan kami beberapa bulan yang lalu ketika kami menulis surat kepadanya.
"Mungkin itu akan mendorong lebih banyak GP untuk menyertai program berkenaan. Tentu keadaan berbeza jika menteri terbabit menunjukkan minat kepada cadangan MMA," katanya.
Sebagai menteri penyelaras PICK, kata Subramaniam, menteri itu boleh mengadakan sesi menjawab pertanyaan media melalui aplikasi Zoom pada waktu tertentu namun tidak mengadakan ikhtiar sama dengan kira-kira 8,000 GP di negara ini.
Boleh cecah 75,000 sehari
Jika ia dilakukan, katanya, keadaan semasa negara yang sedang berdepan dengan ancaman Covid-19 mungkin berbeza sekarang.
"Hanya apabila kes Covid-19 dan kematian telah meningkat baru ada perbincangan mengenai GP.
"Di mana Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan JKJAV beberapa bulan lalu? Atau kita memang mahu terus berpegang pada tradisi iaitu menunggu perkara menjadi lebih buruk sebelum bertindak?" katanya.
Menurut Subramaniam, sehingga akhir April lalu sebahagian besar dari 2,500 doktor swasta mendapatkan latihan dan bersedia untuk memulakan program vaksinasi Covid-19 pada awal Mei - garis masa yang disasarkan untuk memulakan PICK.
Katanya GP terbabit kemudian menunggu keputusan daripada kerajaan untuk tindakan selanjutnya.
"Adakah menteri penyelaras PICK tahu mengenai hal ini? Sekiranya dia tahu, mengapa berlaku kelewatan?
"Walaupun dengan pembabitan 2,500 GP, dianggarkan sebanyak 75,000 vaksinasi dapat dilakukan setiap hari.
"Saya yakin menteri sangat mengetahui hal ini kerana telah diumumkan secara meluas.
"Sekiranya dia benar-benar sedar, maka sebagai menteri yang bertanggungjawab atas program imunisasi ini, dia harus mendesak doktor swasta siang dan malam jika program itu tidak berjalan dengan yang sepatutnya," katanya.
Tambah Subramaniam lagi, semua doktor swasta terbabit dilatih oleh KKM sendiri.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai