Skip to main
Logo Malaysiakini

Hanya minta penjelasan Azmin, kenapa pemimpin Bersatu marah sangat

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kenyataan pemimpin Pemuda Bersatu (Armada) Bersatu, Saiful Bahari yang menyifatkan Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki sebagai "letak otak di lutut" adalah melulu dan biadab.

Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan, berkata Asyraf hanya sekadar meminta penjelasan terperinci daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkaitan sektor perkilangan yang terus dibenarkan beroperasi dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0.

"Pemimpin Pemuda Bersatu biadab tanpa had apabila menyifatkan Ketua Pemuda Umno Malaysia 'letak otak di lutut' semata-mata kerana menggesa menteri kanan ekonomi tampil ke media menjelaskan lebih terperinci sub-sektor perkilangan yang dibenarkan beroperasi sewaktu 'total lockdown' yang bermula hari ini.

"Yang kita faham melalui kenyataan media, selain sektor 'essential' seperti makanan dan sebagainya, aktiviti berkepentingan dalam rantaian bekalan global juga dibenarkan.

"Tapi, tentulah kita berminat tahu perinciannya, contoh, apa aktiviti yang diklasifikasi sebagai berkepentingan dengan rantaian bekalan global?" katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Shahril kemungkinan hampir semua kilang ada kepentingan dalam sesuatu rantaian nilai bekalan.

Terdahulu, Saiful mengkritik keras Pemuda Umno kerana menggesa Menteri Kanan Ekonomi Azmin Ali tampil secara langsung menjelaskan isu penentuan sektor perkhidmatan penting semasa sekatan pergerakan terbaru.

Tanpa berbasa-basi, Saiful berkata kenyataan Asyraf Wajdi semalam “memperlihatkan kerendahan akal seolah-olah otaknya di lutut”.

"Beliau tidak faham berhubung rasional kilang-kilang yang dibenarkan beroperasi, mentaliti beliau ini tidak ubah seperti pembangkang,” katanya yang juga ketua Pemuda Negara - kumpulan yang dikaitkan dengan Azmin.

Semalam, Asyraf menggesa Azmin menjelaskan kewajaran Miti menentukan sektor yang dianggap perkhidmatan penting untuk beroperasi

Dalam pada itu, Shahril berkata gesaan Asyraf yang meminta Azmin muncul di khalayak untuk memberi penjelasan berkaitan sektor perkilangan adalah wajar.

"Minta menteri ekonomi muncul di kaca TV adalah wajar kerana terlalu banyak persoalan dan SOP berkaitan sektor dan industri yang selama ini tidak dijelaskan oleh pemimpin yang diamanahkan. Sampai bila nak taichi (tolak) semua benda yang rumit ke menteri keselamatan?

"Kekhuatiran berkenaan kluster kilang adalah benar dan disokong oleh data. Jadi, kalau ada pihak memberi fokus atau mempertikai kelonggaran kepada operasi kilang, itu adalah wajar. Menteri boleh jawab dan jelaskan - perlu buka yang ini atau yang itu demi kepentingan A, B dan C.

"Itu memang antara kerja menteri rasanya. Kerja menjelaskan yang diminta. Ketua pemuda Umno tidak pun menggelupur minta semua kilang terus ditutup. Kenapa pemuda Bersatu nak marah sangat?" katanya.

Mengulas lanjut, Shahril menjelaskan perkara ini tidak akan timbul jika Parlimen tidak terus dihalang untuk bersidang.