Skip to main
Logo Malaysiakini

Hari pertama 'total lockdown': Nak balik modal pun tak lepas

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ketika sekatan pergerakan penuh (total lockdown) mula dilaksanakan hari ini, peniaga kecil yang terhimpit oleh keadaan semasa adalah antara golongan yang terjejas teruk.

Hidup perlu diteruskan, rezeki harus diraih, namun pelanggannya tiada.

Tinjauan Malaysiakini dalam kalangan peniaga kecil di sekitar Kota Bharu hari ini mendapati jumlah jualan mereka tidak cukup pun untuk menampung kos yang dikeluarkan untuk membeli barangan jualan.

Peniaga masakan panas, Mariam Hassan, 31, yang ditemui kira-kira jam 4 petang tadi berkata sejak membuka perniagaan dari pagi hanya lima orang pelanggan yang datang.

“Saya mula berniaga jam 10 pagi dan setakat ini ada lima orang saja datang membeli.

“Memang dah jangka pelanggan tak ramai hari ni, jadi modal pun saya kurangkan juga, dalam RM100 saja.

"Tapi tapi tak sangkalah nak dapat RM50 pun susah ni,” katanya ketika ditemui di kedainya di Melor.

Tambah Mariam (gambar atas) lagi, dia tahu sekarang negara berada dalam pelaksanaan sekatan pergerakan penuh tetapi dia tidak ada pilihan kecuali terpaksa berniaga juga.

Katanya, dalam apa juga keadaan dia memerlukan sekurang-kurangnya RM200 untuk membayar sewa rumah, selain wang sebagai membeli makanan.

“Saya dan suami kena terus cari duit... kalau tak siapa nak tanggung kami sekeluarga,” katanya.

Sebagai langkah mengekang penularan Covid-19 yang semakin membimbangkan, kerajaan melaksanakan sekatan pergerakan penuh selama dua minggu mulai hari ini.

Sepanjang tempoh itu semua sektor tidak dibenarkan untuk beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang dianggap penting, selain dan peniaga makanan.

Bagamianapun operasi penjaja kecil tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara. Misalnya waktu beroperasi dihadkan dari jam 8 pagi hingga 8 malam saja. 

Peniaga buah-buahan, Noriyah Umar, 50 berkata selepas berniaga kira-kira tujuh jam sejak pukul 9 pagi, hanya enam pelanggan yang menjengah ke gerainya.

“Hari ini saya keluarkan modal dalam RM150 sahaja, tapi sampai sekarang jumlah jualan saya baru RM80. Kalau hari biasa saya boleh dapat dalam RM300," katanya.

Peniaga air Aini Fitri Syed Mohd Razdzi, 29, berkata jualannya juga merosot teruk kerana pelanggan yang datang tidak seperti selalu.

Setakat petang tadi, katanya, jumlah jualannya tidak sampai pun RM50.

“Nak buat macam mana... saya kena berniaga juga. Kalau tidak, macam mana nak bayar sewa rumah?" katanya.

Dengan keadaan yang ada, kata Aini Fitri, baki air yang tidak terjual itu mungkin akan disedekahkan saja kepada orang yang ada di sekitar gerainya agar tidak membazir.

“Mungkin akan jadi rezeki jiran-jiranlah," katanya.