Skip to main
Logo Malaysiakini

Pemimpin Umno gesa k'jaan benarkan keluar i-Sinar, i-Lestari 2.0

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pemimpin Umno menggesa kerajaan supaya melanjutkan program pengeluaran  i-Sinar dan i-Lestari 2.0 bagi membantu rakyat secara menyeluruh berbanding Pemerkasa Plus yang hanya fokus pada kelompok B40.

Ahli Majlis Tertinggi Umno (MT), Razlan Rafii, berkata wabak Covid-19 yang melanda negara lebih setahun lalu telah mengakibatkan ramai terkesan termasuk mereka dalam kategori M40.

Oleh itu, katanya kerajaan patut melanjutkan program i-Sinar dan i-Lestari bagi memberi kelegaan kepada mereka yang terjejas dengan mengeluarkan simpanan daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Sewajarnya program i-Sinar dan i-Lestari 2.0 diadakan kerana bantuan yang disalurkan kepada kerajaan lebih bersasar kepada kelompok B40.

"Bahkan situasai Covid-19 hari ini mengakibatkan kumpulan M40 pun turut terkesan dengan teruk, banyak peniaga kecil juga telah gulung tikar.

"Kerajaan tidak boleh bergantung pada data yang sedia ada untuk mengukur tahap kehidupan rakyat, sudah pasti data terkini menunjukkan golongan M40 semakin berkurangan dan mereka sudah termasuk dalam golongan B40," kata Razlan (gambar, bawah) kepada Malaysiakini.

Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan program bantuan Pemerkasa Tambahan atau Pemerkasa Plus sebagai inisiatif terbaru kerajaan berikutan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh (total lockdown) yang bermula hari ini.

Katanya, nilai keseluruhan program Pemerkasa Plus adalah berjumlah RM40 bilion, di mana suntikan langsung fiskal kerajaan adalah sebanyak RM5 bilion.

Tambahnya, langkah baru Pemerkasa Plus akan dilaksanakan berlandaskan tiga matlamat utama iaitu mempertingkatkan kapasiti kesihatan awam; meneruskan agenda prihatin rakyat; dan menyokong kelangsungan perniagaan.

Exco Pemuda Umno Mustafa Shah Abdul Hamid, berpendapat i-Lestari dan i-Sinar akan memberi kelegaan kepada rakyat dalam situasi sukar ini.

"Secara peribadi saya cukup menyokong usaha kerajaan membantu kelompok B40. Namun dalam masa sama tumpuan juga harus ditumpukan pada kumpulan M40.

"Kerana mereka juga terjejas, semua kita terjejas sebenarnya ekoran Covid-19.

"Jadi, jika i-Lestari dan i-Sinar dibenarkan ia satu kelegaan dan mampu merancakkan ekonomi negara kerana rakyat mempunyai kuasa beli," katanya.

Sementara itu, seorang lagi ahli MT Umno, Armand Azha Abu Hanifah amat menyokong sekiranya kerajaan meneruskan pengeluaran i-Lestari dan i-Sinar.

"Saya amat bersetuju dan menyokong pihak kerajaan membenarkan pengeluaran i-Lestari dan i-Sinar bagi PKP3.0," katanya.