Skip to main
Logo Malaysiakini

Ciri ibu hamil dan menyusui ditambah dalam pendaftaran vaksin MySejahtera

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Satu ciri baru telah ditambahkan dalam aplikasi MySejahtera untuk ibu hamil dan sedang menyusui dalam pendaftaran untuk janji temu vaksinasi.

Ini akan membolehkan golongan berkenaan menerima vaksin Covid-19 yang disarankan mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan.

"Di halaman janji temu MySejahtera anda, anda kini boleh mengemas kini jika anda mengandung atau ibu yang menyusui. Sila maklumkan kepada ahli keluarga, saudara dan rakan anda," kata Ahli Parlimen DAP Segambut, Hannah Yeoh di Facebook hari ini.

Semasa mengumumkan ciri baru itu Selasa lalu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin juga menasihati golongan ibu hamil dan menyusui berjumpa dengan doktor mereka sendiri sebelum memutuskan untuk mendapatkan vaksin atau tidak.

Dia menyatakan bahawa saranan sedia ada adalah agar wanita hamil mendapatkan vaksin Pfizer ketika kehamilan antara 14 minggu dan 33 minggu.

Menurut garis panduan 24 Mei yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), vaksin Pfizer dan AstraZeneca dinyatakan sesuai untuk ibu menyusui.

Terdapat data yang terhad dalam penggunaan vaksin Sinovac untuk ibu menyusui.

Bagaimanapun, JKJAV, tidak mengesyorkan wanita hamil untuk mengambil suntikan AstraZeneca dan Sinovac.

Jawatankuasa itu akan mengemas kini kesesuaian vaksin untuk ibu hamil dan menyusui dari semasa ke semasa.

Bagi mereka yang menolak janji temu untuk vaksinasi AstraZeneca, mereka akan dihubungi dan diberi kesempatan untuk mendaftar semula ke program vaksinasi pada waktu yang akan datang.