Skip to main
Logo Malaysiakini

'Warga politeknik, kolej komuniti terpinggir di kala pandemik'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (PH) mendesak kerajaan tidak meminggirkan politeknik dan kolej komuniti semasa pandemik Covid-19.

Jawatankuasa itu berkata, berbanding golongan pendidik yang lain, pensyarah di institusi berkenaan sering dipinggirkan dan tidak mendapat pembelaan.

"Antara isu yang nyata terlihat mereka dianaktirikan ialah berkaitan kakitangan politeknik dan kolej komuniti dari Semenanjung yang kembali bertugas di Sarawak.

"Kos kuarantin terpaksa ditanggung sendiri oleh mereka berbanding guru-guru KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) yang kosnya ditanggung oleh pihak kerajaan.

"Seumpamanya juga ialah berkenaan isu vaksin. Tatkala banyak suara meminta para guru di sekolah disegerakan dan diberikan keutamaan untuk diberikan vaksin, para pengajar politeknik dan kolej komuniti dipinggirkan dalam mendapat keutamaan untuk diberikan vaksin walaupun kebanyakan mereka terpaksa mengadakan kelas secara bersemuka untuk kursus-kursus praktikal di dalam bengkel, makmal dan kelas," kata jawatankuasa itu dalam satu kenyataan hari ini.

Jawatankuasa itu menegaskan bahawa pensyarah politeknik dan kolej komuniti juga adalah pejuang barisan hadapan yang menyumbang terhadap kesinambungan pendidikan anak-anak daripada kalangan keluarga B40.

"Mereka terdedah kepada risiko jangkitan virus Covid-19 kerana walaupun aspek teori dijalankan secara dalam talian, sesi amali perlu dilakukan secara bersemuka bagi majoriti kursus yang ditawarkan," katanya.

Selain itu, tambahnya, warga politeknik dan kolej komuniti juga telah banyak menyumbang terhadap usaha-usaha mengekang penularan Covid-19.

"Ketika wabak ini mula merebak, banyak politeknik dan kolej komuniti memainkan peranan membantu menghasilkan Personal Protective Equipment (PPE) seperti gaun, menghasilkan pelitup muka dan pelindung muka (face mask/face shiled) dan membantu mengedarkan bantuan makanan kepada masyarakat berdasarkan kemahiran TVET yang mereka ada.

"Tambahan pula ada politeknik dan Kolej Komuniti yang dijadikan Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah Covid-19 (PKRC) seperti Politeknik Port Dickson.

"Kalangan pensyarah politeknik dan kolej komuniti yang menganggotai pasukan beruniform seperti Wataniah, RELA dan APM juga telah banyak berkorban bergabung tenaga dengan barisan hadapan yang lain untuk membendung penularan wabak covid-19 dalam masyarakat," katanya.

Justeru, kata jawatankuasa itu, sudah sewajarnya kerajaan juga memberi keutamaan kepada semua pensyarah dan kakitangan politeknik dan kolej komuniti untuk mendapat vaksin Covid-19.

Jawatankuasa Pendidikan PH dipengerusikan oleh bekas menteri pendidikan Maszlee Malik, yang juga merupakan Ahli Parlimen Simpang Renggam.

Panel jawatankuasa itu juga merangkumi wakil dari parti pembangkang lain termasuk Upko, Malaysian United Democratic Alliance (Muda), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Warisan.