Skip to main
Logo Malaysiakini

Individu timbus semula lorong tikus digali polis untuk rentas daerah

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Satu daripada enam lorong tikus di Kampung Tanah Puteh di Gua Musang, Kelantan yang digali polis untuk mengelakkan dijadikan laluan rentas negeri dan daerah, dikesan telah ditimbus semula oleh individu yang degil mahu merentas daerah.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata, tindakan tersebut dipercayai dilakukan individu tidak bertanggungjawab, bagi mengelak untuk melalui sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Gua Musang-Jalan Kuala Lipis.

“Kita menggali lubang dan menutup lorong tikus tersebut sebelum sambutan Aidilfitri lalu, supaya semua pengguna perlu melalui pemeriksaan SJR sebagaimana yang ditetapkan kerajaan.

“Namun polis mengesan laluan tersebut ditimbus semula mereka tidak bertanggungjawab. Saya beri amaran tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang terlibat,” katanya kepada pemberita ketika melakukan tinjauan di Kampung Tanah Puteh, di sana hari ini.

Sik berkata, anggotanya akan diarahkan supaya melakukan pemantauan yang lebih kerap di semua lorong tikus terbabit, disamping mengesan samseng jalanan yang bertindak memusnahkan sekatan atau menimbus semula laluan itu.

Sementara itu Sik berkata, jumlah kenderaan yang masuk ke negeri ini menerusi Jalan Gua Musang-Kuala Lipis berkurangan, sejak sekatan pergerakan penuh yang bermula semalam.

-Bernama