Kelantan sedia RM2.7 juta kepada golongan terjejas wabak Covid-19
Kerajaan Kelantan mengumumkan peruntukan RM2.7 juta sebagai bantuan kepada golongan yang terkesan akibat Covid-19 di negeri itu.
Menteri Besar Ahmad Yakob berkata, bantuan itu menerusi Pakej Bantuan Cakna Rakyat Covid-19 sebagai insentif bantuan kepada rakyat susulan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh atau 'lockdown'.
Menurutnya, sebanyak RM60,000 diperuntukkan bagi setiap dewan undangan negeri (DUN) yang akan diselaraskan melalui 45 Pusat Khidmat DUN.
"Selain itu, bayaran cukai tanah semasa yang berakhir pada 30 Jun ini akan dilanjutkan kepada 31 Ogos dan denda lewat cukai tanah hanya akan dikenakan bermula 1 September," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Dalam kenyataan itu juga jelasnya, kerajaan Kelantan menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengenai inisiatif program strategik memperkasa rakyat dan ekonomi tambahan (Pemerkasa+) sebanyak RM40 bilion.
Katanya, pengumuman itu menunjukkan keprihatinan kerajaan susulan pelaksanaan SPP di seluruh negara ketika ini.
Sementara itu, Ahmad turut mengumumkan sumbangannya berjumlah RM15,000 dan barisan exco negeri RM10,000 kepada Tabung Serambi Makkah yang diuruskan kerajaan negeri.
"Sementara itu, semua anggota dewan undangan negeri (Adun) Kelantan juga akan memberi sumbangan masing-masing beejumlah RM3,000," jelasnya.
Sehubungan itu Adun Pasir Pekan itu menyeru rakyat Kelantan segera mendaftar dan mengambil suntikan vaksin Covid-19.
"Marilah kita terus berdoa agar petugas barisan hadapan diberi kekuatan dan ketabahan oleh Allah SWT atas usaha dan pergorbanan dalam menjalankan tugas yang sangat mulia ini.
"Semoga Allah mengangkat wabak ini daripada kita semua," kata Ahmad.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai