Skip to main
Logo Malaysiakini

Penjaja kecil bawah PBT tak perlu kelulusan CIMS, permit memadai

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Penjaja kecil di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang mendapat permit penjaja sama ada kekal atau sementara tidak perlu mendapatkan kelulusan melalui Sistem Pengurusan Pintar Covid-19 (CIMS) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan mereka hanya perlu menunjukkan permit penjaja yang dikeluarkan PBT dan ia berkuat kuasa serta-merta dan terpakai sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 3.0.

Bagaimanapun, kenyataan itu menyebut kebenaran tersebut hanya terpakai untuk penjaja kecil dan bukan untuk operasi pasar tani, pasar minggu, pasar malam serta pasar tamu.

“Sekiranya lokasi perniagaan mereka melibatkan pergerakan merentas daerah, mereka perlu mendapatkan kebenaran polis dengan mengemukakan bukti permit penjaja oleh PBT berkenaan,” menurut kenyataan itu.

KPKT juga menyatakan bahawa penjaja kecil yang telah diberi kebenaran beroperasi dan melakukan pergerakan rentas daerah perlu mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan bahawa MITI akan bertindak sebagai kementerian pusat bagi memproses permohonan syarikat perkhidmatan perlu untuk beroperasi sepanjang tempoh Sekatan Pergerakan Penuh mulai hari ini hingga 14 Jun.

- Bernama