Skip to main
Logo Malaysiakini

Persatuan pusat beli-belah nafi kaut untung dari program vaksinasi

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPK) menafikan anggotanya mengaut keuntungan menerusi program vaksinasi di pusat beli-belah untuk penyewa dan pekerja kedai, dengan mengenakan bayaran RM50 untuk dua dos vaksin Covid-19.

PPK berkata, pihaknya terganggu dengan komen negatif yang mendakwa pusat beli-belah mengaut keuntungan dengan menyertai Program Vaksinasi Barisan Hadapan Ekonomi.

Kenyataan PPK itu selepas surat yang mendakwa beberapa pusat beli-belash mengenakan bayaran RM50 untuk dua dos vaksin Pfizer-BioNTech atau Sinovac, yang tular dan dilaporkan media.

Menurut persatuan itu, anggaran kos tempat, logistik, tenaga kerja dan perkhidmatan ambulans siap sedia untuk vaksinasi di pusat beli-belah adlaah kira-kira RM100 hingga RM150 seorang.

"Demi agenda negara, keputusan dibuat agar pusat beli-belah menanggung sebahagian besar kos ini dan dibenarkan mengenakan bayaran hanya RM50 kepada peserta," katanya.

PPK berkata bayaran itu merangkumi kos pemberian vaksin sebanyak RM15 untuk satu dos, RM10 untuk biaya logistik setiap dos, kos lain yang berkaitan serta sebagai tanda komitmen daripada peserta.

Program vaksinasi itu akan diuruskan ProtectHealth Corporation yang akan menyediakan doktor dan jururawat. Vaksin akan disediakan kerajaan secara percuma.

PPK berkata pihaknya mencadangkan program vaksinasi di pusat beli-belah kerana lebih logik dan efisien untuk membawa kakitangan perubatan ke sana.

Lebih 50 pusat beli-belah menunjukkan minat untuk program itu, katanya lagi.

"Perincian program ini dan lokasi sedang dimuktamadkan dan akan diumumkan," katanya lagi.

Sepanjang sekatan pergerakan penuh, hanya penyewa pusat beli-belah yang tersenarai sebagai perkhidmatan penting yang dibenarkan beroperasi - antaranya makanan dan minuman, pasar raya, farmasi dan kedai haiwan peliharaan.

Jumaat lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi dipetik New Straits Times sebagai berkata, lebih 500,000 pekerja runcit akan mendapat manfaat di bawah Program Vaksinasi Barisan Hadapan Ekonomi.