Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Antara yang betul dan yang popular

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Minggu lalu, Tajuddin Abdul Rahman, ahli parlimen Pasir Salak menjadi tajuk utama hampir semua portal berita sama ada di media sosial ataupun arus perdana.

Beliau diberhentikan perkhidmatan serta-merta daripada jawatan pengerusi Prasarana Berhad kerana dikecam hebat netizen yang tidak berpuas hati dengan caranya mengendalikan sidang media berhubung kemalangan LRT yang menggemparkan negara.

Antara alasan yang telah diberikan adalah kerana berseloroh dan berjenaka, tidak sopan/angkuh kepada wartawan dan menghina wartawan asing yang turut berada pada sidang media tersebut.

Umum mengetahui bahawa berita yang sampai kepada audiens kebanyakannya melalui proses saringan dan tapisan, tidak kurang juga ditokok tambah oleh ketua pengarang masing-masing supaya kandungannya menarik lebih ramai pembaca.

Dalam erti kata lain, sesuatu berita tersebut bukanlah bahan asli tetapi pendapat subjektif wartawan dan ketua pengarang, yang sebagai manusia biasa, selalunya telah mempunyai mindset terhadap sesuatu isu atau individu tersebut.

Ini boleh menyumbang kepada sedikit bias terhadap apa yang ingin ditonjolkan dalam sesuatu berita.

Yang membaca pula hanya melihat tajuk berita tanpa membaca artikel penuh, jauh sekali ingin melihat sumber sebenar, dan kebiasaannya terus membuat penilaian masing-masing, tanpa usul periksa.

Mengambil contoh yang berlaku baru-baru ini, sidang media penuh hampir 25 minit telah dirumuskan kepada hanya tiga perkara yang menjadi alasan kemarahan netizen dan seterusnya pemberhentian beliau.

Permohonan maaf atas kemalangan, pakej bantuan awal kepada mangsa kemalangan, jaminan perkhidmatan LRT masih lagi di tahap memuaskan, siasatan menyeluruh sedang berjalan dan lain-lain kandungan penting yang sepatutnya mendapat liputan lebih besar sengaja ditenggelami oleh tiga perkara tersebut.

Mari kita teliti video penuh sidang media tempoh hari: Adakah beliau berseloroh sepanjang tempoh 25 minit sidang media tersebut?

Apakah salah beliau menegur pegawai Prasarana bahawa perkataan lebih tepat untuk digunakan bagi mangsa yang mendapat bantuan pernafasan ialah ventilator dan bukannya ventilation?

Adakah keterlaluan bagi beliau untuk bertanya kepada pihak media sama ada mereka faham dengan jawapan yang telah diberikan?

Adakah teguran untuk tidak melakukan provokasi dibuat dengan nada marah atau tidak sopan?

Berhubung pemberita dari Phoenix TV, China pula, adakah pertanyaan beliau yang kononnya kontroversi tersebut dibuat semasa atau selepas sidang media berakhir? Dan di manakah elemen soalan tersebut yang dikatakan rasis atau menghina?

Dan yang paling penting sekali, bukankah semua soalan-soalan penting yang rakyat jelata ingin tahu telah terjawab?

Mandat lembaga pengarah

Beliau sepatutnya diberi peluang untuk memperbaiki atau memperbetulkan keadaan dengan mengadakan sidang media yang lebih tersusun rapi pada keesokan harinya selepas mesyuarat lembaga pengarah - yang semua tindakan dan rancangan telah mendapat mandat sepenuhnya.

Mantan pengerusi prasarana itu sepatutnya diberikan masa untuk membuktikan kepada rakyat bahawa kebajikan mangsa dijaga dengan baik dan perkhidmatan tren LRT masih lagi selamat.

Apabila melihat semua tindakan yang perlu dilaksanakan dengan baik, persepsi netizen juga akan berubah.

Akan tetapi, adalah mendukacitakan apabila beliau “dihukum” dalam keadaan tergesa-gesa dan penuh keaiban.

Dalam sejarah negara, barangkali ini merupakan kali pertama seorang ahli parlimen yang menyokong kerajaan diberhentikan dengan tatacara begini.

Sekiranya alasan kerajaan untuk memberhentikan beliau secara serta-merta ini adalah kerana desakan netizen yang mengadakan petisyen, bagaimana pula dengan petisyen lain yang kita lihat selama ini terutamanya berhubung dengan penubuhan kerajaan ini yang tidak mendapat mandat rakyat?

Berapa ramai netizen yang menggunakan hashtag kerajaan gagal?

Sekiranya sidang media di Prasarana tersebut didakwa memalukan kerajaan, apakah kerajaan tidak malu di kaca mata dunia dengan kegagalan menangani pandemik ini?

Apakah mereka yang mengatur petisyen supaya Tajuddin supaya berundur tempoh hari, tidak sedar dengan angka kematian dan kes baru yang semakin meningkat?

Mengapa tidak adakan petisyen supaya orang yang telah membentuk dasar, mencipta SOP yang hanya menyumbang kepada graf yang lebih exponential?

Mengapa tidak diberhentikan dengan serta-merta penasihat-penasihat yang telah mencadangkan perintah darurat yang sepatutnya mengekang penularan wabak ini?

Adakah kerana cara mereka mengendalikan sidang media dengan penuh empathy dan dilihat serius, maka tidak perlu apa-apa tindakan dibuat, walaupun satu daripada 20 orang di penduduk Selangor dan hampir 2% daripada penduduk Malaysia telah mengalami Covid19 manakala ekonomi pula sangat terjejas dengan ratusan ribu hilang punca pendapatan?

Seperti yang disebutkan terdahulu, para pembaca/netizen hanya berpeluang melihat petikan-petikan yang terpilih sahaja oleh pihak yang telah pun mempunyai mindset atau persepsi terhadap seseorang individu atau isu.

Kemarahan yang terhasil dari herd mentality yang berlandaskan emosi inilah yang barangkali mendorong kerajaan untuk melakukan tindakan yang drastik.

Kita lupa bahawa sesuatu perkara yang didorong oleh emosi selalunya akan mengakibatkan keputusan yang tidak tepat, terburu-buru dan tidak rasional.

Kerajaan sepatutnya bertindak berdasarkan fakta dan akta serta setelah membuat penilaian yang betul.

Tidak dapat dinafikan bahawa selalunya pandangan majoriti tidak semestinya tepat, lebih-lebih lagi sekiranya melibatkan emosi.

Seperti kata-kata Albert Einstein: “Apa yang betul tidak semestinya popular dan apa yang popular tidak semestinya betul.”


ARAN AIDIL
Ampang, Selangor

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.