Syarikat berkaitan kerabat kendali projek lombong baru di Tasik Chini
Kerajaan Pahang telah meluluskan kerja perlombongan di sekitar Tasik Chini di Pekan kepada sebuah syarikat berkaitan keluarga diraja, di sebalik rancangannya untuk memulihkannya.
Tapak perlombongan baru itu terletak kira-kira tiga kilometer dari Tasik Chini - tasik semula jadi kedua terbesar di Malaysia. Tasik tersebut adalah kawasan tapak rizab biosfera Unesco yang beberapa tahun kebelakangan bergelut dengan masalah pencemaran akibat perlombongan dan pembalakan.
Menurut dokumen penilaian impak alam sekitar (EIA) yang dibuka kepada umum pada April, projek itu meliputi 40.51 hektar - bersamaan kira-kira 60 padang bola sepak - di Lot 89798 di Mukim Penyor.
Dokumen itu juga menunjukkan beberapa konsesi perlombongan yang sedia ada di kawasan itu, dengan kebanyakannya terletak lebih dekat dengan Tasik Chini.
Konsesi untuk projek perlombongan terbaru ini, yang memberi tumpuan kepada kerja melombong mangan (manganese) dan mineral lain, dipegang oleh Hanishah Ventures Sdn Bhd dan untuk selama dua tahun.
Syarikat itu dimiliki secara bersama oleh Raja Shah Zurin Raja Aman Shah dan Tengku Hanizar Tengku Muhammad.
Raja Shah Zurin, atau lebih dikenali sebagai Shah Rezza, adalah pelakon dan juga sepupu Sultan Kelantan Sultan Muhammad V, manakala Tengku Hanizar adalah ibu saudara kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, yang juga Sultan Pahang.
Dokumen EIA menyenaraikan Tengku Nong Fatimah Sultan Ahmad Shah - adik kepada Agong - sebagai individu untuk dihubungi (contact person). Bagaimanapun, no telefon yang disertakan tiada dalam perkhidmatan.
Susulan projek perlombongan baru ini, para aktivis alam sekitar mempersoalkan komitmen kerajaan Pahang untuk menyelamatkan Tasik Chini dan mengembalikannya sebagai tempat tarikan pelancong.
Diwarta sebagai taman negeri, hutan simpan
Tahun lalu, kerajaan Pahang mewartakan Tasik Chini sebagai taman negeri.
Menteri besarnya Wan Rosdy Wan Ismail turut mengumumkan usaha untuk memulihkan tasik itu serta moratorium terhadap pemberian konsesi baru pembalakan dan perlombongan di situ.
Pada 2019, kerajaan Pahang juga mewartakan Tasik Chini dan kawasan sekitarnya sebagai hutan simpan kekal.
Bagaimanapun ia nampaknya tidak menghentikan kegiatan perlombongan baru. Menurut EIA, projek terbaru itu melibatkan kerja "melombong mineral dalam atau bersebelahan atau dekat kawasan alam sekitar yang sensitif".
Berdasarkan dokumen itu, plot tanah yang terlibat adalah sebahagian daripada kawasan yang dikategorikan sebagai "Kawasan Sensitif Alam Sekitar Tahap 2".
Kawasan dalam kategori ini boleh dibangunkan dengan syarat-syarat tertentu tetapi kegiatan perlombongan memang dilarang. Bagaimanapun, kerajaan Pahang memberi pengecualian kepada projek perlombongan ini.
Dokumen EIA turut berkata kerajaan Pahang "menggantikan Rancangan Khas Tasik Chini dan meluluskan tapak projek untuk kegiatan melombong".
Menurut Pusat Penyelidikan Tasik Chini Universiti Kebangsaan Malaysia (PPTC), saiz kawasan tasik semula jadi adalah kira-kira 202 hektar, dengan 700 hektar kawasan paya air tawar dan hutan paya di sekitarnya.
Penyelidikannya mendapati lokasi itu kaya dengan flora dan fauna, dan 51 spesies tumbuhan jenis hutan rendah, 15 spesies tumbuhan jenis hutan paya air tawar, 25 spesies tumbuhan akuatik dan 87 spesies ikan air tawar.
Selain menjadi habitat semula jadi flora dan fauna yang pelbagai, PPTC juga berkata kawasan itu kekal sebagai sumber air utama dan pendapatan masyarakat Orang Asli daripada suku Jakun.
"Pembangunan dan penggunaan tanah yang tidak terkawal dan bercanggah dengan statusnya sebagai kawasan sensitif alam sekitar (KSAS) telah mengakibatkan persekitaran yang menurun dalam kawasan lembangan tasik.," kata PPTC di laman webnya.
'Hanya pura-pura'
Ketua Persatuan Pencinta Alam (MNS) Pahang Noor Jehan Abu Bakar membayangkan skeptisisme terhadap tekad politik kerajaan Pahang untuk memulihara Tasik Chini.
Bercakap dengan Malaysiakini, Noor Jehan mempersoalkan rasional di sebalik keputusan meluluskan satu lagi kegiatan melombong di sekitar tasik itu, walaupun kerajaan negeri telah merancang untuk membangunkannya sebagai kawasan ekopelancongan.
"Saya yakin itu hanya pura-pura (lip service). Mereka hanya kata demikian untuk tutup (isu) tetapi hakikatnya tindakan mereka tidak mencerminkan (komitmen itu)," katanya.
Noor Jehan berkata, meskipun kerajaan Pahang ada hak untuk meluluskan projek itu, kesannya kepada kawasan sensitif alam sekitar tetap membangkitkan kebimbangan.
Dia juga menyuarakan kebimbangan yang kekurangan penguatkuasaan boleh menyebabkan pembuangan sisa perlombongan ke dalam Tasik Chini.
EIA menyatakan sisa air daripada kegiatan perlombongan perlu disalurkan ke cawang sungai yang mengalir ke Sungai Pahang, bukannya ke Tasik Chini.
"Jika lihat di atas kertas, nampaknya sisa tak akan ke Tasik Chini.
"Tetapi tapak ini dekat dengan tasik untuk mereka buang sisa di sana.
"Sebaik perlombongan bermula, apa yang akan menghalang mereka daripada buang (sisa) ke dalam tasik?" soalnya.
Katanya, kebimbangan terhadap kelemahan penguatkuasaan bukanlah tidak berasas. Dia membangkitkan isu perlombongan bauksit Kuantan pada 2015.
Noor Jehan berkata masyarakat setempat juga terkesan dengan perlombongan di kawasan itu.
"Penduduk di sana, termasuk Orang Asli dan masyarakat setempat, masih bergantung kepada tasik untuk mencari ikan dan punca pendapatan.
"Orang miskin akan terkesan, dan tidak mudah untuk mereka berpindah dari situ. Kawasan itu telah menjadi tempat tinggal mereka sejak zaman nenek moyang mereka," katanya lagi.
MNS Pahang telah menyerahkan bantahan terhadap projek tersebut.
Syarikat janji pemulihan
Kerajaan Pahang tidak memberi maklum balas terhadap permintaan Malaysiakini untuk mengulas perkara ini. Nombor telefon Hanishah Ventures yang disenaraikan pula tidak boleh dihubungi.
Ketika dihubungi, Raja Shah Zurin - yang juga salah seorang daripada dua pengarah syarikat - enggan member sebarang kenyataan.
Bagaimanapun, Golden Prosperous Resources Sdn Bhd - firma yang dilanik Hanishah Ventures sebagai pengendali projek - memberi jaminan yang kegiatan perlombongan tidak akan mengancam Tasik Chini.
Dalam respons emel menerusi perunding EIA-nya Capai Cerah Sdn Bhd, syarikat itu berkata operasi mereka akan berjalan selama dua tahun dan mereka akan melabur dalam pemulihan tapak perlombongan.
"Apa yang penting projek perlombongan kami tidak akan masuk ke Tasik Chini kerana kami di kawasan tadahan berbeza, dan ada longkang keliling di sepanjang sempadan projek, untuk menyalurkan aliran permukaan ke lembangan mendapan sebelum dilepaskan ke cawang Sungai Tasik.
"Operasi kami untuk jangka masa pendek dan kami melabur dalam kegiatan pemulihan. Ada perancangan yang terperinci," katanya.
Kata syarikat itu lagi, ia bertentangan dengan kegiatan perlombongan haram yang menurutnya telah "secara tidak bertanggungjawab menjarah" kawasan itu.
Ia juga menjamin kerja pemulihan akan diadakan selepas perlombongan selesai.
"Tapak ini tidak boleh ditinggalkan kerana ia akan menyebabkan isu dan masalah alam sekitar serius," katanya.
Justeru itu, syarikat itu berkata pihaknya akan melakukan kerja pemulihan "secepat mungkin".
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai