Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis kini terima semua surat pergerakan dari jabatan, kementerian

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Polis kini menerima semua surat kebenaran pergerakan yang dikeluarkan jabatan dan kementerian, bukan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) sahaja.

Dalam satu rakaman video pendek, Senior Asisten Komisioner (SAC) Gerakan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman (KDNKA) MV Srikumar M Nair memberitahu perkara itu kepada semua anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya.

Dia berkata arahan itu datang daripada Ketua Polis Negara (KPN) Acryl Sani Abdullah Sani.

"KPN telah memutuskan dan mengarahkan supaya kita menerima pakai semua surat pergerakan, baik daripada Miti, kementerian atau jabatan.

"Walaupun selepas dua tiga hari yang dikatakan diberi kelonggaran, kita tetap benarkan pemakaian surat ini.

"DIharap tuan-tuan dan puan-puan dapat maklumkan kepada semua bahagian yang menjalankan sekatan jalan raya," kata Srikumar.

Rakaman video itu tular sejak semalam dan turut dikongsi di laman Facebook Kementerian Pengangkutan.

Sepanjang sekatan pergerakan penuh yang berkuat kuasa sejak 1 Jun, kebenaran pergerakan kian dibataskan, terutama antara daerah dan negeri.

Bagaimanapun, arahan berkenaan cara mendapatkan kebenaran tersebut telah berubah beberapa kali.

Pada mulanya, semua surat kebenaran yang dikeluarkan Miti sebelum ini - yang membenarkan pekerja merentas negeri - diputuskan tidak lagi terpakai selepas 31 Mei.

Kalangan yang terlibat dalam perkhidmatan penting perlu mendapatkan surat baru daripada kementerian yang relevan dengan kerja mereka.

Bagaimanapun, berlaku perubahan saat akhir apabila kerajaan memutuskan semua perniagaan dan industri perlu mendapatkan kebenaran beroperasi menerusi Sistem Pengurusan Pintar Covid-19 (CIMS) 3.0 yang dikendali Miti.