Skip to main
Logo Malaysiakini

'7 minggu 7 menteri bincang dasar kabotaj masih tak ada jawapan'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bekas menteri pengangkutan Anthony Loke menyorot bahawa sudah tujuh minggu selepas kabinet memaklumkan bahawa tujuh kementerian akan membincangkan dasar kabotaj untuk pembaikan kabel kapal selam, 

Kata Loke, sehingga hari ini persoalan mengenai isu itu belum dijawab.

Pemimpin DAP itu berkata demikian dalam satu kenyataan di Facebook yang disertakan dengan tangkap layar kenyataan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berhubung perkara itu.

"Ambil masa tujuh minggu dan tujuh menteri untuk merundingkan dasar yang mudah tetapi belum ada jawapan yang diberikan," kata Loke yang juga ahli parlimen Seremban.

Pada 14 April lalu, Khairy memaklumkan bahawa kabinet telah berbincang mengenai perkara itu dan mengarahkan enam kementerian untuk teliti kesan dasar kabotaj negara terhadap industri digital dan perkapalan.

Jelas Khairy, kementerian berkenaan mempunyai 14 hari untuk mengemukakan cadangan mereka kepada kabinet, iaitu seharusnya pada 28 April lalu.

Bagaimanapun, belum ada pengumuman terbaru mengenai dasar kabotaj negara.

 

Pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada bulan Mac 2019 mengecualikan kapal-kapal bukan Malaysia daripada dikenakan tindakan menerusi Ordinan Perkapalan Malaysia 1952 Seksyen 65KA (1) sekiranya kapal asing itu terlibat dalam perkhidmatan pembaikan kabel dasar laut di mana-mana pusat pendaratan di perairan Malaysia.

Bagaimanapun, pengecualian tersebut ditarik semula pada November 2020 oleh Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong di bawah pentadbiran PN.

Syarikat gergasi teknologi termasuk Amazon Web Service, Facebook, Google dan Microsoft pada 10 April lalu mengeluarkan kenyataan bersama mendesak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk mengembalikan pengecualian kabotaj yang meluluskan operasi kapal asing terlibat pembaikan kabel dasar laut.

Empat syarikat tersebut berkata penarikan pengecualian kabotaj itu telah memberi kesan negatif terhadap daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan bagi syarikat teknologi global dan dasar memberikan faedah ekonomi yang boleh diabaikan kepada Malaysia.

Pada November tahun lalu tiga syarikat - Microsoft, Google dan Facebook- juga telah bersama-sama menulis surat kepada Muhyiddin berhubung hal yang sama.

Ketiga-tiga syarikat itu turut memberi amaran, bahawa dasar itu hanya akan mewujudkan situasi di mana hanya satu syarikat Malaysia bakal memonopoli projek pembaikan kabel bawah laut.