Skip to main
Logo Malaysiakini

Moratorium bank: Jangan selektif guna kuasa darurat, kata Guan Eng

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng membidas kenyataan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz bahawa kerajaan tidak boleh memaksa bank memberikan moratorium menyeluruh kepada peminjam.

Kata bekas menteri kewangan era PH itu, kerajaan tidak seharusnya bersikap selektif dalam menggunakan kuasa darurat hanya ke atas perkara yang melibatkan keperluan politik sahaja.

Dia memberikan contoh bagaimana kerajaan sebelum ini menggunakan kuasa darurat untuk meminda Akta Kumpulan Wang Amanah Negara (Kwan) bagi memperuntukkan RM5 bilion daripada Kwan untuk pembelian vaksin dan kos imunisasi.

Hal sama, katanya, sepatutnya boleh dilakukan bagi memaksa bank memberikan moratorium menyeluruh.

“Namun, (Perdana Menteri) Muhyiddin (Yassin) enggan melakukan perkara yang sama untuk meminda pelbagai undang-undang untuk memaksa industri perbankan bagi melanjutkan moratorium pinjaman secara automatik, kecuali kumpulan 20 teratas (T20),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“[...] Walaupun kita tidak setuju dengan Tengku Zafrul dan boleh menunjukkan pelbagai undang-undang di mana kuasa tersebut terletak kepada kerajaan untuk memaksa bank untuk patuh, pertikaian ini dapat diselesaikan dengan mudah dengan menggunakan kuasa darurat untuk meminda pelbagai undang-undang selama tempoh krisis Covid-19.

“Peguam telah mencadangkan kepada kerajaan untuk meminda Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 yang seperti Akta Kwan atau membawa kembali Akta Langkah Sementara Covid-19 untuk merangkumi industri perbankan yang melarang hukuman ke atas kegagalan melaksanakan kewajiban kontrak,” katanya lagi.

Semasa perutusan khas 31 Mei sebelum pelaksanaan sekatan pergerakan penuh, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pemberian moratorium automatik selama tiga bulan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dan mereka yang kehilangan pekerjaan susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Ia turut ditawarkan buat perusahaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP.

Kelmarin pada Selasa, Tengku Zafrul berkata soal moratorium itu telah dipersetujui oleh bank-bank dalam perbincangan dengan Bank Negara Malaysia, dan kerajaan, katanya, tidak memiliki “kemampuan undang-undang” untuk memaksa bank.

Beberapa pihak tampil membalas kenyataan senator itu, antaranya peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang seperti Lim, menganjurkan kerajaan membuat peraturan darurat bagi tujuan itu, selain Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki, serta Adun Permatang Pasir Faiz Fadzil - yang juga seorang peguam. 

Malah ketika mengulas mengenai moratorium, ada pakar ekonomi berpandangan pengelasan kelas pendapatan kepada B40 dan M40 sudah tidak relevan kini.

Kata Lim, kos daripada pemberian moratorium sehingga akhir tahun - yang memanfaatkan 8 juta peminjam - dapat diserap dengan mudah oleh bank dengan keuntungan selepas cukai industri perbankan yang dicatat sebanyak RM32.3 bilion pada 2019 dan RM23 bilion pada 2020.

Katanya, moratorium turut harus diberikan kepada M40. Berbeza dengan PKP1.0, kata Lim, dalam PKP kali ini, faedah pinjaman sewa beli dikumpulkan untuk pembayaran masa depan dan tidak dikecualikan, justeru akan mengurangkan lagi kos ditanggung bank.

“Kerajaan harus mendedahkan kos yang ditanggung oleh bank berbanding dengan keuntungan puluhan bilion selepas cukai mereka,” katanya.