Mesyuarat kabinet tegang gara-gara isu kebenaran operasi, dakwa sumber
Hantaran Facebook yang dibuat Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri semalam mengundang perhatian, dengan ada yang melihatnya sebagai sindiran berkaitan kebenaran operasi kilang ketika sekatan pergerakan penuh pada masa ini.
Sumber Malaysiakini di Putrajaya mendakwa berlaku ketegangan antara Ismail dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Azmin Ali dalam mesyuarat sebelum ini.
"Saya difahamkan berlaku sedikit ketegangan dalam mesyuarat Kabinet antara menteri kanan keselamatan dan menteri kanan ekonomi.
"Ia berpunca daripada tindakan saat akhir Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) untuk mengawal permohonan bagi kebenaran untuk beroperasi ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) pada masa ini.
"Ia ditambah pula dengan isu syarikat arak beroperasi ketika PKP yang akhirnya Ismail Sabri arahkan ia ditutup," dakwanya kepada Malaysiakini, hari ini.
Hantaran Ismail di Facebook semalam memaparkan gambarnya sedang menutup pintu pejabat, diiringi dengan kata-kata "Saya dah tutup pintu depan tapi...” disertai dengan emoji sedih.
Hari ini, Ismail menjelaskan dia tidak ada sebarang maksud tersembunyi ketika membuat hantaran itu.
Azmin pula menggesa mana-mana pihak agar tidak membuat spekulasi dan menjelaskan barisan menteri bekerja sebagai satu pasukan untuk memerangi wabak Covid-19.
Pada masa ini, terdapat 17 perkhidmatan penting yang dibenarkan beroperasi sepanjang sekatan pergerakan penuh yang berkuat kuasa 1 Jun lalu.
Kilang yang menghasilkan barangan penting untuk rantaian bekalan dibenarkan beroperasi dengan tenaga kerja yang dikurangkan, ada yang sehingga pada kadar 10 peratus.
Bagaimanapun ada pihak yang mendakwa lebih banyak kilang wajar dihalang daripada beroperasi memandangkan data menunjukkan sektor perkilangan dan pembuatan menjadi penyumbang terbesar kes Covid-19 setakat ini.
Sementara itu, sumber tersebut turut mendakwa Ismail begitu kecewa dengan tindakan Miti untuk mengendalikan permohonan kebenaran operasi.
"Tugas telah diberikan untuk setiap kementerian memberi surat kebenaran operasi (bagi sektor yang relevan), namun pada saat akhir ia kembali kepada Miti.
"Ismail Sabri kecewa dengan perkara itu kerana ia akan menyulitkan rakyat," katanya lagi.
Pertentangan antara dua menteri kanan itu terus diperkatakan hari ini, apabila Ismail dilaporkan berkata soalan berkenaan kebenaran operasi perlu dikemukakan kepada Miti.
"Saya susah nak jawab sebab kita sudah menyerahkannya kepada Miti, jadi Miti boleh jawab," katanya seperti dipetik Berita Harian.
Pada masa sama, Azmin dalam kenyataan berkata kementeriannya bukan penentu tunggal bagi kebenaran operasi.
Katanya, sehingga kini sebanyak 15 kementerian menggunakan Sistem Pengurusan Pintar Covid-19 (CIMS) 3.0 bagi urusan itu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai