Skip to main
Logo Malaysiakini

9 Adun Perak setuju potong separuh gaji selama 3 bulan untuk Tabung Covid-19

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada Bersatu dan PAS di Perak bersetuju membuat pemotongan gaji selama tiga bulan untuk disalur kepada Tabung Bencana Covid-19.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak Ahmad Faizal Azumu berkata pemotongan 50 peratus itu bermula bulan ini hingga Ogos depan.

"Langkah ini (pemotongan gaji) membuktikan keprihatinan ADUN dalam kalangan pemimpin PN Perak terhadap permasalahan rakyat yang terkesan dengan penularan wabak Covid-19," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata persetujuan itu juga sebagai menyambut seruan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam merasai denyut nadi rakyat ketika berdepan dengan situasi pandemik itu.

Kesemua Adun Bersatu itu terdiri daripada Ahmad Faizal (Chenderiang), Zainol Fadzi Paharudin (Sungai Manik), Nolee Ashilin Mohammed Radzi (Tualang Sekah), Abdul Yunus Jamahari (Kuala Kurau), Paul Yong Choo Kiong (Tronoh) serta A. Sivasubramaniam (Buntong).

Manakala Adun PAS pula terdiri daripada Razman Zakaria (Semanggol), Mohd Akmal Kamarudin (Selama) dan Khalil Yahaya (Kubu Gajah).

Semalam, Menteri Besar Perak Saarani Mohamad dilaporkan berkata 10 exco negeri itu bersetuju untuk menyumbang tiga bulan gaji bermula Jun kepada Tabung Bencana Covid-19.

Muhyiddin pada 31 Mei lepas mengumumkan semua menteri dan timbalan menteri tidak akan mengambil gaji masing-masing selama tiga bulan mulai Jun seperti yang diamalkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 tahun lepas.

- Bernama