Skip to main
Logo Malaysiakini

Covid-19: KL lakukan ujian saringan massa mulai esok

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kementerian Wilayah Persekutuan akan mula melakukan ujian saringan besar-besaran untuk mengesan pembawa Covid-19 dalam kalangan penduduk Kuala Lumpur esok.

Dengan memfokuskan kawasan dengan kepadatan tinggi di petempatan awam, kerajaan juga, kata menterinya Annuar Musa, akan memulakan projek perintis program vaksinasi bergerak mulai minggu depan.

Menurut ciapannya malam tadi, program saringan massa secara percuma itu akan dimulakan di empat dewan perumahan awam (PA) di Bandar Tun Razak membabitkan Seri Sabah 3A, Seri Sabah 3B, Seri Pulau Pinang, dan Seri Kota.

Katanya kemudahan itu akan dibuka dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari selama beberapa hari.

Dihubungi Malaysiakini kemudian, Annuar berkata program esok adalah saringan percubaan bagi melihat bagaimana pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) dan kecekapan pelaksanaannya.

"Setiap kemudahan mampu melakukan saringan antara 300 hingga 500 ujian sehari," katanya.

Sebelum ini jumlah anggaran ujian yang mampu dilakukan ialah antara 200 hingga 300 sehari.

Putrajaya catat rekod

Annuar yang juga ahli parlimen Ketereh memberitahu lebih banyak pusat saringan akan dibuka menjelang akhir bulan ini dan sebarang perubahan akan dimaklumkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan.

Sebelum ini beberapa ahli parlimen Pakatan Harapan mendesak agar kementerian berkenaan mencontohi langkah kerajaan Selangor yang giat melakukan ujian saringan massa.

Langkah itu - walaupun meningkatkan data jumlah kes baru harian - dapat mengesan lebih banyak individu yang berisiko dan langkah kawalan boleh diambil segera.

Sementara itu Annuar berkata projek perintis program vaksinasi bergerak akan menyasarkan suntikan ke atas kira-kira 1,000 penghuni Projek Perumahan Rakyat Muhibbah di Lembah Pantai pada Isnin ini.

Sehari kemudian katanya program yang dilaksanakan oleh MyMedic@Wilayah itu akan melakukan 1,000 suntikan pada pekerja pembinaan laluan MRT pula.

Dalam perkembangan lain Annuar mengumumkan Putrajaya menjadi kawasan pertama di negara ini mencapai pendaftaran vaksinasi 100 peratus.

Pada masa sama dia berharap Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi memberi perhatian mengenainya dan menyegerakan pemberian vaksin di situ.

"Sasaran saya ialah supaya Kuala Lumpur dan kawasan lain dalam Wilayah Persekutuan menjadi negeri pertama mencapai imuniti kelompok," katanya.

[Baca berita asal]