Hamzah: Tidak ada sidang parlimen sampai capai imuniti kelompok
Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin hari ini memaklumkan parlimen hanya akan bersidang semula selepas negara berjaya mencapai imuniti kelompok terhadap virus Covid-19.
Menempelak desakan supaya Dewan Rakyat bersidang sekarang, Hamzah berkata tindakan itu hanya akan mencetuskan lebih banyak kluster jangkitan.
"Contoh kalau parlimen buka kalau sebulan...Isnin sampai kKhamis empat hari berturut-turut.
"Berapa orang ada di parlimen tu? Satu MP, pegawai-pegawai ahli parlimen, pegawai-pegawai kerajaan ada situ, pegawai dan kakitangan parlimen di kafeteria kantin, driver, dan lain-lain melebihi seribu.
"Duduk situ dari pagi hingga pukul lima atau enam petang. Bukankan ini akan jadi titik panas (Covid-19)" soalnya kepada pemberita selepas pemeriksaan di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur hari ini.
Menurutnya, perkara penting sekarang adalah rancangan untuk vaksinasi semua rakyat Malaysia.
"Yang penting pada kita ialah untuk semua dapat vaksin. Kalau dah semua dapat, ada herd immunity, apa yang akan berlaku adalah pembukaan parlimen boleh kita buat, perjumpaan boleh kita buat bila dah capai tahap herd immunity.
"Tapi selagi mana kita belum dapat tahap itu, mengapa mesti kita buat cadangan-cadangan yang boleh jadi kluster-kluster yang boleh merosakkan lebih ramai lagi perasaan tidak senang hati dan macam-macam hashtag dikeluarkan," katanya lagi,
Menteri dalam negeri berkata demikian ketika menjawab pertanyaan mengenai rancangan kerajaan untuk mengambil tindakan terhadap golongan antivaksin, apabila Hamzah tiba-tiba mengulas gesaan parlimen diizinkan untuk kembali bersidang.
Untuk rekod, Dewan Rakyat belum bersidang tahun ini. Kerajaan Perikatan Nasional menolak untuk mengadakan sidang parlimen, dengan kebimbangan terhadap wabak Covid-19 sebagai alasan, walaupun didesak oleh banyak pihak daripada pemimpin pembangkang dan parti pemerintah.
Pentadbiran yang diterajui Muhyiddin Yassin mengisytiharkan proklamasi darurat pada bulan Januari, yang memberi kuasa menggantung parlimen.
Sementara itu, Hamzah mendakwa malahan parti pembangkang PKR juga takut untuk mengadakan kongres secara fizikal dan sebaliknya mengadakan idang secara maya.
"Saya tengok dalam newspaper PKR dengan bangganya, buat kongres secara virtual. Jadi maknanya apa?
"Dia pun tak berani nak buat perjumpaan seperti dia suruh buka parlimen ni. Jadi kalau tak berani buat kongres secara itu, dia buat secara virtual.
"Jadi kalau kita nak buka (parlimen) secara virtual, banyak masalah lain pulak. Kerana macam mana nak buat secara virtual, ramai, pegawai kerajaan, beribu lagi.
"So ini yang akan kita fikirkan," jelasnya lagi.
Hamzah juga menegur pihak yang menggesa pembukaan parlimen, menasihatkan supaya "jangan mengikut perasaan."
"Ini yang jadi masalah pada kita," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai